Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jual petrol RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak di M’sia berdepan denda RM1j

Jun 20, 2024 | 12:54 PM
Gambar tular kereta bernombor pendaftaran asing dipercayai dari negara jiran mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Melaka.
Gambar tular kereta bernombor pendaftaran asing dipercayai dari negara jiran mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Melaka. - Foto tular HARIAN METRO

ALOR GAJAH: Sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Melaka, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas pengusahanya didapati menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarah KPDN Melaka, Cik Norena Jaafar, berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan rakaman tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.

Beliau berkata video tular itu memperlihatkan seorang individu yang menaiki kenderaan bernombor pendaftaran asing dipercayai dari negara jiran mengisi petrol bersubsidi.

“Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.

“Kesalahan disyaki dibuat kira-kira 4.35 petang pada 16 Jun lalu dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 ($6.64) melalui transaksi outdoor payment terminal (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.

Cik Norena berkata perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).

“Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak bakal berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing,” katanya.

Beliau berkata KPDN Melaka tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membabitkan larangan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“KPDN Melaka memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mematuhi semua arahan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg