KOTA BHARU: Kabinet Malaysia bersetuju landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kelantan, dipanjangkan dari 2,400 meter kepada 2,800 meter sebagai persediaan menjadikan ia lapangan terbang antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata persetujuan itu diperoleh selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
Menurutnya, projek itu akan disegerakan dan dimasukkan dalam fasa dua projek naik taraf dan pembesaran LTSIP yang sedang berjalan.
“Secara prinsip Kabinet sudah meluluskan projek berkenaan dan ia bukan menjadi projek baru tanpa memerlukan tender baru, sebaliknya sambungan kepada projek sedia ada.
“Kos tambahan berhubung projek berkenaan akan dibincangkan dengan pihak kontraktor dan Kementerian Pengangkutan juga akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Ekonomi untuk peruntukan tambahan.
“Ini berita baik untuk Kelantan dan proses rundingan dengan kontraktor dari segi teknikal dijangka mengambil masa tiga bulan sebelum projek dilaksanakan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media pada 13 Mei selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Media sebelum ini melaporkan Datuk Anwar bersetuju menaik taraf LTSIP Pengkalan Chepa menjadikannya lapangan terbang antarabangsa.
Encik Loke berkata pemanjangan landasan itu akan meningkatkan lagi ekonomi dan industri pelancongan Kelantan.
“Jika landasan itu dipanjangkan, lebih banyak penerbangan antarabangsa boleh dilakukan, membabitkan tempoh penerbangan lima jam.
“Ini berita baik buat Kelantan dan hari ini saya datang menyatakan perkembangan terkini berhubung pemanjangan landasan berkenaan,” katanya.
Datuk Mohd Nassuruddin melahirkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Menteri Pengangkutan berhubung berita gembira itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg