JOHOR BAHRU: Sebanyak RM12.78 juta ($4.13 juta) telah diluluskan oleh Kerajaan Johor bagi melaksanakan 29 projek pembangunan di Daerah Pontian pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata peruntukan itu melibatkan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di empat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Benut, Pulai Sebatang, Kukup dan Pekan Nenas, di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pontian.

“Mesyuarat Tindakan DUN ini menjadi platform penting untuk kita menyelaras isu rakyat secara lebih dekat di peringkat DUN supaya setiap masalah dapat ditangani dengan lebih tersusun dan memberi impak terus kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 April.

Datuk Mohd Jafni berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN Pontian sebagai wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan projek yang diluluskan, sebanyak tujuh projek dikenal pasti untuk kelulusan segera dengan peruntukan RM980,000.

Menurutnya lagi, projek berkenaan dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu bencana, sosial dan keselamatan, selaras dengan keperluan mendesak di lapangan.

“Antara projek yang diberi keutamaan termasuk kerja baik pulih struktur sekolah yang mengalami penurunan tanah dan boleh menjejas keselamatan murid.

“Kita juga memberi perhatian kepada kerja menaik taraf jeti nelayan di Kukup, yang menjadi nadi ekonomi masyarakat setempat selain penambahbaikan balai raya, dewan serbaguna dan sekolah agama yang uzur,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 99 projek kini direkodkan di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, 61 projek telah siap, 12 projek sedang dilaksanakan manakala selebihnya masih di peringkat permohonan dan siasatan.

“Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan setiap projek dipantau rapi dan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Datuk Mohd Jafni turut menegaskan kepada semua agensi pelaksana supaya setiap projek yang telah diluluskan disegerakan pelaksanaannya dengan keutamaan diberikan kepada projek melibatkan keselamatan rakyat serta keperluan asas masyarakat.

“Kecekapan penyampaian dan tindakan pantas adalah kunci utama dalam memastikan rakyat benar-benar merasai manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pontian, dan semua agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Jafni turut menghadiri Perjumpaan Santai bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Kulai 2.0 di Felda Bukit Batu.

Beliau berkata pertemuan itu penting kerana JPKK merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan besar dalam menyampaikan dasar kerajaan ke peringkat akar umbi.

Menurut beliau, jika sebelum ini, perjumpaan hanya melibatkan ketua kampung, kali ini keseluruhan barisan JPKK turut dihimpunkan bagi memastikan setiap isu rakyat dapat didengar dan ditangani secara bersama.

Pertemuan itu melibatkan wakil daripada tujuh JPKK termasuk dari Felda Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Melayu Bukit Batu, Kampung Ayer Manis, Kampung Melayu Sedenak, Kampung Rahmat dan Kampung Sri Paya.

“JPKK bukan sekadar jawatankuasa kampung, tetapi penghubung utama antara rakyat dan kerajaan dalam soal kebajikan, keselamatan dan pembangunan,” katanya.