SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kerajaan Johor pasang loji penyahgaram untuk pulih bekalan air loji di Kota Tinggi

Kerajaan Johor pasang loji penyahgaram untuk pulih bekalan air loji di Kota Tinggi

Apr 15, 2026 | 1:29 PM

Kerajaan Johor pasang loji penyahgaram untuk pulih bekalan air loji di Kota Tinggi

bekalan air johor
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, menggesa penduduk yang terjejas akibat kemarau agar terus bersabar dan mengguna air secara cermat sementara menunggu keadaan kembali seperti sedia kala. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

JOHOR BAHRU: Paras air di Sungai Ulu Sedili Kecil, Kota Tinggi, masih belum pulih sepenuhnya, menghalang operasi semula Loji Rawatan Air Lok Heng, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Walaupun pelbagai ikhtiar telah dicuba, termasuk menggunakan air bawah tanah dari telaga tiub dan memindahkan air dari Sungai Lukah, usaha memulihkan loji itu masih menemui jalan buntu.

“Pihak Ranhill SAJ kini sedang giat memasang set loji penyahgaram yang sebelum ini beroperasi di Forest City, untuk digunakan di Loji Rawatan Air Lok Heng,” jelas beliau dalam kenyataan bertarikh 14 April.

Beliau menambah, air Sungai Lukah yang masin tidak boleh disalurkan terus ke Sungai Ulu Sedili Kecil kerana Loji Rawatan Air Lok Heng tiada kemudahan merawat air laut.

Justeru, pemasangan loji penyahgaram ini akan membolehkan air Sungai Lukah dirawat, walaupun dengan kandungan garam yang tinggi.

“Loji ini berupaya menghasilkan sehingga dua juta liter air terawat setiap hari, dengan kerja pemasangan kini telah mencapai 34 peratus.

“Insya-Allah, loji ini dijangka mula beroperasi pada 20 April 2026, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pengguna di kawasan Lok Heng dan Waha dengan bekalan air terus ke rumah,” katanya.

Encik Mohamad Fazli turut menyeru penduduk yang terjejas akibat kemarau agar terus bersabar dan mengguna air secara cermat sementara menunggu keadaan kembali seperti sedia kala.

Sebelum ini, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada penyusutan paras air di empangan dan sungai Johor, kesan kemarau dari Disember 2025 hingga Februari 2026.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Johor merekodkan defisit hujan antara 20 hingga 40 peratus di bawah paras purata dalam tempoh tersebut, sekali gus memberi tekanan besar kepada sumber air negeri.

“Kerajaan negeri kekal komited mengatur strategi jangka pendek dan panjang, demi memastikan bekalan air sentiasa stabil, mencukupi dan berterusan untuk rakyat,” tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata kerajaan akan meneruskan operasi pembenihan awan secara berperingkat, untuk meningkatkan paras air di beberapa empangan, terutamanya di selatan tanah air termasuk Johor.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg