Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia perlu bayar pampasan RM400b jika mahu hapus tol
Kerajaan M’sia perlu bayar pampasan RM400b jika mahu hapus tol
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memerlukan kira-kira RM400 bilion ($125.62 bilion) sekiranya mahu mengambil alih semua lebuh raya bertol di negara itu, bagi membolehkan kutipan tol dimansuhkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata jumlah itu berdasarkan anggaran awal pegawai kementerian, sekali gus menunjukkan komitmen kewangan besar yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya cadangan berkenaan mahu dilaksanakan.
“Saya ada bertanya kepada pegawai, kita nak mansuhkan tol ini boleh atau tidak?
“Terdapat 34 lebuh raya bertol di Malaysia yang dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.
“Berdasarkan anggaran awal pegawai, jika mansuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan memerlukan kira-kira RM70 bilion untuk bayar, tetapi pemansuhan tol pula memerlukan sekitar RM400 bilion,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu pemansuhan tol pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat, pada 16 November.
Cadangan untuk memansuhkan tol pernah menjadi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH), yang kini dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika parti itu menjadi pembangkang.
Selain cadangan memansuhkan tol, PH juga mengangkat manifesto untuk menghapuskan pinjaman pendidikan oleh penuntut universiti menerusi PTPTN, dengan matlamat memberi pendidikan percuma kepada anak Malaysia.
Menjelaskan lanjut, Datuk Ahmad berkata jumlah RM400 bilion itu hampir menyamai keseluruhan belanjawan tahunan Malaysia, sekiranya kerajaan mengambil alih semua lebuh raya bertol berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan angka itu hanyalah anggaran awal dan beliau sendiri tidak pasti jumlah sebenar yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan ada duit untuk mengambil alih semua 34 lebuh raya bertol? Jumlah itu lebih kurang bajet tahunan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad berkata Kerajaan berharap pelaksanaan sistem tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) dapat disegerakan menerusi kerjasama antara syarikat konsesi lebuh raya.
Bagaimanapun, katanya beberapa akta perlu dipinda bagi membolehkan sistem berkenaan dilaksanakan, termasuk peruntukan berkaitan tindakan terhadap pengguna yang gagal membayar tol.
“Tanpa palang tol, mungkin ada pengguna yang cuba mengelak daripada membuat pembayaran.
“Oleh itu, undang-undang berkaitan perlu dipinda dan saya berharap proses itu dapat disegerakan,” katanya.