Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia peruntuk RM400j untuk subsidi tambahan beras tempatan

Oct 3, 2023 | 12:42 PM
BANTU RAKYAT: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menyelesaikan kemelut beras tempatan yang meruncing di pasaran ketika berucap di Karnival Segalanya Felda di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang pada Isnin petang.
BANTU RAKYAT: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menyelesaikan kemelut beras tempatan yang meruncing di pasaran ketika berucap di Karnival Segalanya Felda di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang pada Isnin petang. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA

BENTONG: Kerajaan Malaysia memperuntukkan subsidi tambahan hampir RM400 juta ($116.3 juta) untuk membantu menampung kos pembelian beras import bagi menggantikan penggunaan beras putih tempatan (BPT) di semua agensi dan jabatan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan kecukupan bekalan beras tempatan di pasaran untuk dibeli rakyat.

Beliau berkata agensi dan jabatan kerajaan seperti kem tentera dan polis serta asrama sekolah menggunakan BPT dalam kuantiti besar.

Justeru, langkah supaya agensi dan jabatan kerajaan menggunakan beras import akan membantu memperbanyakkan bekalan BPT di pasaran.

“Untuk semua kem tentera, kem polis dan jabatan kerajaan, 5 peratus daripada kegunaan BPT, kerajaan akan tolong beri subsidi dan beri kepada mereka supaya 5 peratus itu boleh dipulangkan kepada pasaran. Maknanya (beras) sudah berlebihan di pasaran.

“Kementerian Kewangan beritahu kepada ‘central contract’ supaya beli hanya beras import, jangan beli beras tempatan untuk kem tentera, kem polis, jabatan kerajaan, asrama sekolah bagi mengurangkan tekanan kepada keperluan beras dalam kalangan rakyat.

“Berapa jumlah subsidi tambahan? Hampir RM400 juta. Ia bukan percuma sebab itu saya kata, politik mesti stabil, ekonomi mesti baik, pelaburan mesti datang. Barulah ekonomi meningkat. Baru untung kita boleh agih kepada rakyat. Ini yang kita lakukan,” katanya dipetik Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda Wilayah Mempaga di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang pada Isnin petang.

Sementara itu ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, Bentong, Datuk Anwar memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikesan mengambil kesempatan dengan menyorok stok BPT.

Beliau berkata kerajaan akan mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Kemudian ada juga dalam kalangan yang salah guna, sorok, simpan... saya beritahu kepada saudara Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu), arahan mesti jelas kepada badan penguat kuasa.

“Kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah mencari beras, kamu sorok... kamu jaga. Kami akan cari kamu dan bawa kamu ke mahkamah... tengah orang susah, masa itu kamu nak cari untung,” katanya dalam ucapan pada Isnin malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg