KUALA BERANG: Padah melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal, seorang lelaki warga Singapura ditahan ketika dalam perjalanan bagi menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0 di Terengganu, kira-kira 6 petang pada 30 Julai.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata lelaki berusia 20-an tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kerana didapati memandu secara melulu.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha RXZ, ditahan oleh anggota JSPT Terengganu di Kilometer 403 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan dalam perjalanan menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

“Lelaki itu didapati melakukan aksi ‘superman’ semasa menunggang motosikal dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan mengikut akta berkenaan.

Polis menasihati pengguna jalan raya termasuk peserta program RXZ Members 8.0 supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Perhimpunan RXZ Members 8.0 pada 31 Julai hingga 1 Ogos dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal RXZ dari seluruh negara di Litar Permotoran Gong Badak.

Acara itu kali pertama diadakan pada 2017 dengan permulaannya berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.

Sejak penganjuran sulung tersebut, perhimpunan itu telah berkembang menjadi acara tahunan yang mengumpulkan puluhan ribu peminat motosikal dua lejang legenda tersebut dari seluruh Malaysia.

Jumlah kehadiran peserta Perhimpunan RXZ Members telah meningkat secara mendadak daripada hanya beberapa ribu orang pada edisi pertama (2017) sehinggalah mencecah 150,000 orang pada edisi RXZ Members 7.0 (2025). – Agensi berita.