Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes buli pelajar: Pembuli diarah bayar lebih RM600,000

Oct 17, 2023 | 5:34 PM
GANTI RUGI: Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa memerintahkan lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) di Terengganu bersama empat yang lain membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada seorang mangsa buli yang alami kecacatan kekal, lapan tahun lalu.
GANTI RUGI: Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa memerintahkan lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) di Terengganu bersama empat yang lain membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada seorang mangsa buli yang alami kecacatan kekal, lapan tahun lalu. - Foto MAHKAMAH PUTRAJAYA

PUTRAJAYA: Lima bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Terengganu bersama empat yang lain diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk membayar ganti rugi lebih RM600,000 ($173,000) kepada seorang mangsa buli yang mengalami kecacatan kekal.

Panel tiga hakim iaitu Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas plaintif yang juga bekas pelajar sekolah sama yang kini berusia 22 tahun.

Selain lima bekas pelajar senior yang ketika ini berusia 25 tahun, empat pihak lain adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM); bekas Pengetua; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan Malaysia masing-masing selaku defendan keenam hingga kesembilan.

Ia susulan kejadian pukul, buli dan serangan yang berlaku di bilik asrama ketua pengawas sekolah berkenaan pada 26 April 2015, yang mana ketika itu plaintif yang juga seorang lelaki berusia 14 tahun.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia pada Selasa, keputusan dibuat secara dalam talian itu mendapati Ketua Pengarah KPM dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) akibat kecuaian warden, penolong kanan HEM dan pengetua.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2019 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021.

Plaintif yang menjadi mangsa buli lapan tahun lalu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya terhadap sembilan defendan itu menerusi Peguamcara Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan itu, mangsa mendakwa dipukul, dibuli dan diserang lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah serta mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Malah, plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015 dan menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2022 sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Semua hakim Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif. Dalam kes itu, plaintif diwakili peguam Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg