Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes serah Pulau Batu Puteh ke S’pura: Syor siasatan jenayah terhadap Dr M

Dec 5, 2024 | 1:51 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika keluar dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 12 Jun.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika keluar dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 12 Jun. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan kehilangan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura, susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2018.

Ia antara Syor Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, pada 5 Disember.

Dalam laporan setebal 217 itu, suruhanjaya itu menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun serta di bawah Seksyen 418 Kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

Jika sabit kesalahan, Dr Mahathir boleh dihukum di bawah seksyen 417 dan 418 di kanun yang sama.

Laporan yang ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah Dr Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Menurutnya, jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.

“Dalam hal ini, Dr Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya,” katanya.

Selain itu, Suruhanjaya berkata, siasatan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat atas fakta yang beliau menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian kepada kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.

“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu, Dr Mahathir menyebabkan kerugian kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Suruhanjaya turut mengesyorkan bahawa Malaysia boleh memfailkan semula Permohonan Tafsiran baru pada bila-bila masa yang sesuai, namun tidak mencadangkan Malaysia memfailkan semula Permohonan Tafsiran.

Selain itu, tindakan sivil di bawah ‘Tort Misfeasans’ yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas (PPK) sebelum ini tidak perlu diambil terhadap Dr Mahathir kerana tindakan itu terhalang oleh had masa. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg