Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes simbah asid: Pemain bola sepak M’sia kritikal, suspek kedua ditahan polis di Selangor

May 7, 2024 | 2:41 PM
Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim, dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat kelecuran tahap empat akibat disimbah asid di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor.
Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim, dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat kelecuran tahap empat akibat disimbah asid di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor. - Foto AFP

SHAH ALAM: Pemain bola sepak Malaysia, Faisal Halim, yang cedera parah akibat disimbah asid dilaporkan dalam keadaan kritikal, manakala suspek kedua yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian itu berjaya ditahan polis pada 6 Mei.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, memaklumkan keadaan tonggak Harimau Malaya itu boleh dikatakan semakin membimbangkan selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, pada 6 Mei, kesan daripada kelecuran tahap empat.

Malah, beliau yang juga Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak, sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak, lapor Harian Metro (HM).

Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, pula berkata kecederaan melecur tahap empat yang dialami pemain Selangor FC itu mungkin boleh menyebabkan komplikasi jangkitan kuman, sekali gus memberi kesan untuk beliau terus bermain di tahap prestasi terbaiknya pada masa akan datang.

Beliau berkata perkara yang paling merisaukannya adalah risiko jangkitan kuman yang akan dihadapi pemain kelahiran Pulau Pinang itu kerana kulit manusia seperti lapisan untuk mencegah daripada kuman masuk dalam badan dan apabila lapisan itu semakin nipis, ia boleh mendatangkan kesan serius.

“Jangkitan kuman itu juga boleh memberi kesan dalam jangka masa panjang dan itu sebenarnya akan mempengaruhi prestasi dia selepas ini,” terangnya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis telah menahan suspek kedua berusia 30-an tahun, yang disyaki terbabit dalam kejadian simbah asid itu di sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor.

Datuk Hussein turut mengesahkan suspek pertama kes berkenaan yang ditahan pada 5 Mei, didapati bukan pelaku kes terbabit dan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

“Siasatan polis mendapati suspek sebenar kes itu menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu, namun ia nombor yang sama dengan nombor pendaftaran kenderaan suspek pertama.

“Oleh itu siasatan mendapati suspek pertama tiada kaitan dengan kes ini dan akan dibebaskan (selepas reman tamat). Namun dia akan ditahan semula kerana ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah,” katanya lapor HM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg