Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tipu haji: Polis tahan lelaki warga emas, bantu siasatan anggota jemaah haji didakwa dikurung, dipaksa redah laluan bahaya

Jun 16, 2025 | 10:37 PM
Lelaki berusia 67 tahun ditahan empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin.
Lelaki berusia 67 tahun ditahan empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin. - Foto BHM

SEREMBAN: Lelaki berusia 67 tahun ditahan empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor pada 15 Jun, selepas laporan polis dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Mantin.

“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan, polis percaya lebih ramai mangsa mungkin terbabit dalam skim penipuan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Ke-103, di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pada 16 Jun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian RM81,000 ($24,528), dengan setiap seorang membayar RM27,000.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada kes itu didalangi pihak persendirian atau syarikat, lapor Harian Metro.

“Polis menyeru mana-mana individu yang menjadi mangsa kepada penipuan pakej haji untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima tiga laporan berkaitan penipuan pakej haji ke atas sekumpulan warga emas yang didakwa dikurung dan dipaksa meredah laluan berbahaya di Arab Saudi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, dilaporkan berkata tiga laporan polis itu dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia.

Menurutnya, tiga laporan polis itu dibuat masing-masing dua di Mantin, Negeri Sembilan dan Ayer Hitam, Johor.

Media sebelum ini melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg