KAHIRAH (Mesir): Proton, syarikat automotif ulung Malaysia akan memulakan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Mesir, mulai Disember 2024.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah sebahagian usaha negara untuk membawa kaedah pemikiran baru dalam kerjasama antara dua negara.
Beliau yang melancarkan kilang pemasangan Proton Saga di Mesir pada 12 November, berkata usaha sama itu penting bagi memajukan industri tempatan kededua negara.
“Ini menunjukkan potensi bukan saja bagi keperluan Mesir, malah menjadikan Mesir sebagai perantara untuk eksport Proton ke kawasan terutamanya di utara Afrika dan beberapa negara Arab,” katanya, lapor Buletin TV3.
Rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan di Giza itu melibatkan 16,000 unit antara 2024 dengan 2026, seiring anggaran nilai RM570 juta ($172.29 juta).
Kilang berkenaan adalah kerjasama Proton bersama Ezz Elsewedy Automotive Factories (ESAF) serta disokong pengedar tempatan Ezz Elarab.
Proton Saga berkenaan akan menjadi kenderaan model pandu kiri pertama Malaysia.
Turut hadir di majlis itu termasuk Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments, Encik Hisham Ezz Elarab.
Datuk Zafrul, yang mengiringi Datuk Anwar ke Kahirah, berkata sebanyak 12 syarikat pengilangan terkemuka Mesir berminat mahu meneroka peluang pelaburan di Malaysia.
Menurutnya, ia termasuk dalam sektor farmaseutikal, peranti perubatan, aeroangkasa dan petrokimia.
Wakil syarikat pengilangan itu, tambah Datuk Zafrul menyatakan minat mereka ketika menyertai mesyuarat meja bundar yang diadakan di Kahirah, sempena lawatan rasmi Datuk Anwar ke Mesir itu.
Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.
Dr Zafrul berkata sebanyak 28 syarikat industri bernilai tinggi termasuk dalam sektor automotif, kimia, makanan, produk berasaskan minyak sawit, penjagaan peribadi, tenaga boleh diperbaharui, logistik, kewangan dan pembinaan hadir semasa mesyuarat meja bundar itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg