JOHOR BAHRU: Keputusan Singapura mengetatkan kawalan dan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk negara itu menyusuli serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, mengakibatkan kesesakan teruk di Tambak Johor dan Linkedua.
Ramai pemandu yang menuju ke republik itu terperangkap dalam kesesakan dua hingga tiga jam, terutama pada waktu sibuk bermula 4 petang.
Seorang pemandu, Encik Ali Hassan, 57 tahun, terkejut apabila mendapati pihak berkuasa Singapura menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan ketat terhadap semua kenderaan memasuki negara itu sejak pagi 19 Mei.
“Mengapa melakukan pemeriksaan sebegitu hingga menyusahkan orang ramai? Saya terperangkap dalam kesesakan di Tambak selama empat jam pada 19 Mei.
“Kali terakhir mereka melakukan pemeriksaan terperinci seperti itu ialah semasa ketua militan Jemaah Islamiah (JI) Mas Selamat Kastari melarikan diri pada 2008,” katanya, sambil melahirkan kebimbangan keadaan bertambah buruk pada hujung minggu.
Seorang penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Encik Kumar, 42 tahun, berkata beliau terperangkap dalam kesesakan itu hampir dua jam.
“Penunggang motosikal juga diperiksa dengan teliti. Ramai pegawai penguat kuasa daripada polis, kastam dan imigresen berada di pusat pemeriksaan pintu masuk Singapura,” katanya.
Beliau juga bimbang keadaan trafik akan bertambah buruk semasa cuti sekolah Singapura dari 25 Mei hingga 23 Jun.
Encik Kumar berkata pelepasan imigresen di Malaysia berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Seorang pekerja yang mahu dikenali hanya sebagai Cik Tan, yang berulang-alik antara Johor dan Singapura dengan bas setiap hari, berkata keadaan lalu lintas bertambah buruk sejak 19 Mei.
“Ribuan orang terperangkap kerana bas tidak dapat menyeberang Tambak kerana kesesakan,” ujarnya.
Dalam serangan pada 2.30 pagi 17 Mei itu, dua anggota polis maut manakala seorang cedera selepas seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyerang Balai Polis Ulu Tiram.
Penyerang berusia 21 tahun itu ditembak mati oleh seorang anggota polis yang cedera.
Menyusuli kejadian itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura mengumumkan dalam satu kenyataan pada 18 Mei bahawa langkah meningkatkan kawalan dan keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaannya, adalah berikutan serangan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg