KUALA LUMPUR: Seekor kucing jalanan dari Malaysia bernama Baby, berjaya mencuri perhatian dunia apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang diadakan di Oslo, Norway, pada 3 November.
Kucing betina berusia sembilan tahun milik pasangan suami isteri, Encik Shaharudin Shuib dan Cik Rooaida Mohd Darus itu yang mewakili Malaysia, berjaya memikat hati juri dengan kejinakan, ketenangan, dan sifat manja yang ditonjolkan sepanjang penilaian.
Baby mengalahkan ribuan pesaing lain dari seluruh dunia untuk meraih gelaran juara dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) itu.
Menurut Cik Rooaida, Baby hanyalah kucing baka biasa yang diambil dari jalanan dan dipelihara sehingga kini.
“Baby telah diberi pendedahan dan latihan sejak awal untuk berinteraksi di khalayak ramai, termasuk menyertai pelbagai pertunjukan kucing tempatan.
“Saya dan suami kerap membawa Baby menyertai pertunjukan dalam negara supaya dia lebih terbiasa dengan persekitaran ramai. Ini membantu memupuk sifat manja dan jinak dalam diri Baby,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tambah Cik Rooaida penyertaan kali kedua itu nyata berbaloi apabila juri tertarik dengan keunikan Baby dan aspek lain yang memenuhi piawaian permarkahan.
“Ini adalah penghargaan terbaik diterimanya kerana Baby perlu bersaing dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukan itu.
“Bulu Baby yang cantik serta dandanan rapi disempurnakan kami sendiri turut menjadi faktor penarik kepada juri dan penonton,” katanya.
Katanya, meskipun hanya kucing jalanan tanpa baka istimewa, perwatakan unik Baby memenuhi kriteria pemarkahan yang ketat.
Lebih istimewa, Baby turut bersaing dalam pusingan akhir pertandingan bagi merebut gelaran juara mutlak dengan seekor lagi kucing jantan bernama Miko, yang juga dimiliki pasangan itu.
Selain Baby, Malaysia turut menghantar lapan ekor kucing lain, termasuk empat kucing baka British Shorthair, tiga kucing jalanan, dan seekor kucing Bengal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg