Dua menteri Kabinet Singapura menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya keluarga Diraja Johor pada 31 Mac, meneruskan tradisi tahunan yang mengesahkan hubungan kukuh Singapura dengan Johor.
Semasa lawatan mereka, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan isteri Dr Balakrishnan, Cik Joy, telah disambut Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor di Istana Bukit Serene.
“Singapura dan Johor berkongsi persahabatan unik yang telah bertahan dalam ujian masa,” kata Encik Chan dalam catatan Facebook.
“Kami terikat bukan sahaja oleh hubungan ekonomi, tetapi juga perkongsian sejarah di samping hubungan antara individu yang mendalam,” tambahnya.
Dr Balakrishnan dan Encik Chan juga menyampaikan ucapan Hari Raya mereka kepada Tunku Ismail dan kerabat diraja Johor
Kededua pihak juga membincangkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura dan inisiatif lain untuk mengukuhkan lagi hubungan rentas sempadan yang pelbagai dan teguh, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 31 Mac.
Dalam satu catatan Facebook, Dr Balakrishnan berkata projek-projek besar yang akan datang ini akan membawa tenaga baru kepada kerjasama Singapura dan Johor - mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan hubungan antara rakyat.
Tradisi tahunan menziarahi kerabat Diraja Johor bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri diteruskan pada 2023 selepas berehat selama tiga tahun susuli pandemik Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg