KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Abdah Alif, 72 tahun, sah bergelar suami kepada seorang wanita yang difahamkan berusia 20 tahun, dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Kuala Terengganu, pada 27 Ogos lalu.

Perkahwinan pasangan itu disahkan oleh adiknya, Datuk Yunus Alif, yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih bola sepak.

Pengesahan itu menamatkan teka-teki mengenai status Datuk Abdah, selepas gambarnya bersama pasangan tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.

Datuk Yunus berkata pernikahan abangnya itu direstui keluarga kededua pihak.

“Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.

“Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua,” katanya, lapor Harian Metro.

Datuk Abdah bukan nama asing dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung tahun 1970-an dan awal 1980-an.

Malah, beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.

Datuk Abdah ketika itu berada dalam satu generasi yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.

Bagaimanapun, Datuk Abdah dan rakan-rakan sepasukan tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Datuk Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinan terbaharunya disahkan oleh adiknya sendiri.