KUALA LUMPUR: Semua penumpang syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa di Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapatkan kembali bayaran tiket mereka sekiranya penerbangan mereka terlewat lebih lima jam.
Penegasan itu dibuat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bahawa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa perlu menyediakan bayaran balik kepada penumpang dalam kaedah pembayaran asal.
Pengarah Hal Ehwal Pengguna Mavcom, Cik Pushpalatha Subramaniam, berkata perubahan itu adalah sebahagian daripada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang telah ditambah baik dan berkuat kuasa mulai 1 September 2024.
“Ini adalah pilihan baru bagi pengguna atau penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka atau jika tujuan perjalanan mereka tidak lagi relevan.
“Walaupun syarikat penerbangan masih boleh memberikan kredit penerbangan dan baucar perjalanan, pilihan pertama yang dikemukakan mestilah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal.
“Pilihan mesti diserahkan kepada pengguna,” katanya dalam satu program temu bual, The Nation, lapor Astro Awani.
Cik Pushpalatha berkata perubahan itu juga terpakai kepada gangguan penerbangan di luar kawalan syarikat penerbangan, seperti keadaan cuaca buruk, sekatan kawalan trafik udara (ATC) dan bencana alam seperti letusan gunung berapi atau gempa bumi, atau keadaan lain yang menghalang perjalanan ke destinasi.
Beliau berkata kod yang ditambah baik itu mengandungi beberapa perubahan penting untuk mengukuhkan hak pengguna dan memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan yang lebih tinggi dalam industri penerbangan.
Menurut Cik Pushpalatha, sekiranya pengguna memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka, syarikat penerbangan perlu memberikan bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, yuran dan caj seperti levi berlepas, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan caj karbon.
“Ini terpakai kepada kedua-dua tiket yang boleh dibayar balik dan tidak boleh dikembalikan,” katanya.
Beliau turut berkata pengguna kini perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal tentang sebarang perubahan pada waktu berlepas yang dijadualkan (STD).
“Syarikat penerbangan dibenarkan membuat perubahan pada STD yang disebabkan oleh isu teknikal dan cuaca buruk.
“Bagaimanapun, atas sebab komersial, mereka tidak lagi dibenarkan membuat perubahan pada STD dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh berlepas,” katanya.
Cik Pushpalatha berkata Mavcom memantau pematuhan terhadap peraturan itu melalui aduan pengguna dan data yang dikemukakan syarikat penerbangan dan dikehendaki melaporkan kepada suruhanjaya tersebut secara bulanan.
“Di bawah Seksyen 22 MACPC, jika syarikat penerbangan tidak mematuhi peraturan ini, penalti kewangan boleh dikenakan sehingga RM200,000 ($60,412) bagi kesalahan pertama, dan 10 kali ganda penalti bagi kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, Mavcom telah mengenakan penalti kewangan secara kumulatif berjumlah RM4.85 juta ke atas syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg