Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M. Nasir terima Ijazah Kehormat Universiti Pendidikan Sultan Idris

Ijazah Kehormat bagi iktiraf pencapaian cemerlang, sumbangan besar beliau dalam bidang seni; penyanyi, Nash akan terima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan
Nov 22, 2024 | 5:35 PM
Penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik terkenal Malaysia kelahiran Singapura, Datuk Dr M. Nasir, bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
Penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik terkenal Malaysia kelahiran Singapura, Datuk Dr M. Nasir, bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak. - Foto INSTAGRAM M. NASIR

TANJONG MALIM (Perak): Penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik terkenal Malaysia, Datuk Dr M. Nasir, bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, pada 23 November.

Selain Nasir, 67 tahun, penyanyi rok seangkatan dengannya, Datuk Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 65 tahun, akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan.

Pengurniaan Ijazah Kehormat itu dianugerahkan khas bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan sumbangan besar Nasir dalam bidang seni.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pemilihan Nasir, yang juga anak kelahiran Singapura sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persembahan adalah selaras dengan pengalaman seninya selama empat dekad bermula 1979.

Menurutnya, Datuk Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, yang memulakan perjalanan seninya pada 1979, turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021.

Malah katanya syarikat Luncai Emas Sdn Bhd milik penyanyi legenda itu menjadi rakan strategik UPSI melalui Memorandum Persefahaman (MOU) sejak 2016 sehingga sekarang.

“Sumbangan Datuk M. Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.

“Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk ‘Senandung Semalam’ pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah ‘Hujan’ yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Nasir berpindah bersama keluarganya dari Singapura ke Malaysia pada 1984 dan mendapat kerakyatan pada 1989.

Beliau berkahwin dengan penyanyi terkenal Singapura yang menganggotai kumpulan Ideal Sisters, Allahyarhamha Junainah Johari, pada 1980.

Allahyarhamha meninggal dunia pada 1998 di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit asma, ketika berusia 36 tahun.

Bapa kepada lima anak hasil perkahwinan dengan Allahyarhamha Junainah itu kemudian menikahi pelakon, penggiat teater dan pensyarah seni Malaysia, Datin Marlia Musa, 55 tahun, pada 2000.

Sementara itu, Nash yang aktif sebagai penyanyi bermula 1986 pernah menganggotai kumpulan Lefthanded dan terkenal dengan lagunya, ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ (1992) dan ‘Zahir Tak Terucap’ (1993).

Dua insan seni itu akan membuat persembahan semasa selingan pada sesi pertama konvokesyen.

Dalam pada itu Datuk Md Amin, berkata seramai 7,172 lulusan bakal menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) semasa Istiadat Konvokesyen Ke-26 itu yang akan berakhir pada 30 November.

“Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim sudi berangkat merasmikan majlis istiadat dan menyampaikan ijazah kepada graduan pada sesi pertama.

“Pada sesi ini juga, penghargaan akan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Emas Canselor,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg