Topik diikuti
Pergi ke BHkuMalaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Arab Saudi mulai 18 Okt
Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Arab Saudi mulai 18 Okt
PUTRAJAYA: Malaysia Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan berjadual antara Malaysia dengan Jeddah serta Madinah, Arab Saudi, bermula 18 Oktober, menyusuli semakan keselamatan menyeluruh dan penilaian risiko operasi.
Syarikat penerbangan Malaysia itu menasihati penumpang yang membuat perjalanan ke destinasi berkenaan atau berlepas daripadanya supaya menyemak jadual penerbangan serta memastikan maklumat hubungan mereka dikemas kini menerusi ciri My Booking di laman web atau aplikasi mudah alihnya.
“Penumpang yang membuat tempahan menerusi platform pihak ketiga atau ejen pelancongan dinasihatkan supaya menghubungi penyedia tempahan masing-masing secara langsung berhubung aturan perjalanan mereka,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada 17 Oktober.
Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menggunakan ciri Live Chat (Perbualan Langsung) di laman webnya atau menghubungi Pusat Hubungan Global di talian 1 300 88 3000 jika mereka berada di Malaysia atau +603 7843 3000 jika mereka berada di luar negara, tambah syarikat penerbangan berkenaan.
Malaysia Airlines turut merakamkan penghargaan kepada para penumpang atas kesabaran dan kefahaman mereka sepanjang tempoh penggantungan sementara penerbangan ke kedua-dua destinasi berkenaan.
Syarikat penerbangan itu berkata ia akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dari semasa ke semasa, dengan keselamatan serta kesejahteraan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaannya. – Agensi berita.