Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Kerajaan M’sia timbang cari pesawat MH370 di lokasi baru

Nov 5, 2024 | 4:35 PM
Kerajaan Malaysia masih berhasrat mencari pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014, dengan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut.
Kerajaan Malaysia masih berhasrat mencari pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014, dengan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut. - Foto hiasan BERITA HARIAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun berlalu, Malaysia masih belum berputus asa dalam usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata kerajaan masih berhasrat mahu mencari MH370 dengan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity di Britain, yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut.

Menurutnya rundingan itu yang dibuat sejak Jun lalu membabitkan pengesanan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baru yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata pertimbangan itu dibuat atas aspirasi kerajaan yang tidak akan mengabaikan bagi mencari bangkai pesawat MH370, sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baru yang sahih dan kukuh.

“Rundingan ini berdasarkan prinsip no find, no fee, yang mana kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

“Lokasi kawasan pencarian baru yang dicadangkan syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat terbabit.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity kukuh dan boleh dipertimbangkan kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat (Parlimen) Malaysia pada 5 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Kampar, Encik Chong Zhemin (Pakatan Harapan) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan masih berhasrat meneruskan usaha mencari pesawat MH370.

Pada masa sama, Encik Loke berkata pihaknya akan mengumumkan secara terbuka kelak, jika rundingan itu berjaya dimuktamadkan.

Beliau berkata kos ditetapkan pihak Ocean Infinity dalam operasi pencarian adalah AS$70 juta ($92.23 juta), iaitu masih sama dengan perjanjian ditetapkan pada Januari 2018.

“Rundingan masih dibincangkan dan belum dimuktamadkan dengan kos diminta adalah sama seperti 2018, namun disebabkan tidak dapat ditemui lagi, maka tiada bayaran dibuat kepada syarikat berkenaan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Encik Loke berkata berhubung aspek pampasan, wujudnya sebilangan kecil ahli keluarga mangsa pesawat MH370 yang tidak sanggup menerima bayaran berkenaan atas sebab peribadi.

Beliau berkata antaranya adalah mereka merasakan masih ada harapan bahawa mangsa pesawat MH370 akan pulang.

Tarikh 8 Mac 2014 mencatat sejarah duka buat rakyat Malaysia apabila pesawat MH370 dalam perjalanan ke Beijing, China, yang berlepas pada 12.41 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terputus perhubungan dengan menara kawalan trafik udara.

Pesawat berkenaan membawa 239 penumpang dan kru, terdiri daripada 153 penumpang dari China, 38 Malaysia, manakala 36 lagi penumpang dari 12 negara berbeza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg