KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Malaysia berumur lima hingga 15 tahun sudah meningkat kepada 16.5 peratus atau 922,318 pada 2023 daripada 7.9 peratus atau 424,000 pada 2019.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia berdasarkan tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ini adalah peningkatan sebanyak dua kali ganda,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Dr Zulkaferi Hanapi (Bebas-Tanjung Karang) mengenai data dan pelan tindakan KKM bagi menangani isu kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Bagi menangani isu yang amat membimbangkan itu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya sudah melaksana Program Minda Sihat Sekolah iaitu kerjasama antara KKM dengan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.
“(Selain itu) KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 63 hospital dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari).
“(Turut dilaksanakan) peluasan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial melalui penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) Contract For Service (CFS) di daerah dan Klinik Kesihatan,” katanya.
Kata Dr Dzulkefly, KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang 2027, berbanding 18 pakar yang ada di hospital KKM setakat ini.
“Selaras dengan ‘Konsep Malaysia Madani’, tanggungjawab menangani permasalahan mental dalam kalangan kanak-kanak remaja perlu dipikul secara bersama.
“KKM akan terus komited untuk menangani isu kesihatan mental kanak-kanak ini melalui kerjasama merentas agensi dan usaha secara bersepadu terutamanya bagi memastikan kesihatan mental yang baik dalam kalangan kanak-kanak khususnya,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg