M’sia kesan 10 kluster baru TB; kes tertinggi di Johor

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia kesan 10 kluster baru TB; kes tertinggi di Johor

Feb 10, 2026 | 6:11 PM

M’sia kesan 10 kluster baru TB; kes tertinggi di Johor

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, TB, tuberculosis, cluster, Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengesan sebanyak 10 kluster baru kes jangkitan penyakit batuk kering atau tuberkulosis sehingga 7 Februari lalu, dengan Selangor mendahului dengan merekodkan empat kluster baru.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selain Selangor, masing-masing satu kluster dikesan di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.

“Di Johor, satu kes baru-baru ini, (membabitkan) wanita warga emas, guru al-Quran berusia 72 tahun, yang berakhir dengan 903 kontak rapat dikenal pasti,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, pada 10 Februari.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional – Kuala Langat) yang meminta penjelasan mengenai status terkini kluster penyakit batuk kering mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau, lapor Berita Harian Malaysia.

Memperincikan sejumlah 10 kluster baru yang semuanya masih aktif, Dr Dzulkefly yang juga AP Kuala Selangor, berkata terdapat enam negeri lain yang turut merekodkan kes sama dan menyumbang masing-masing satu kluster penyakit berjangkit tersebut.

“Kluster batuk kering merujuk kepada kejadian kelompok jangkitan dua kes atau lebih yang mempunyai kaitan epidemiologi dari segi masa, tempat atau hubungan kontak yang menunjukkan kemungkinan wujudnya rantaian penyebaran yang sama.

“Kes indeks yang dikenal pasti semasa permulaan kluster adalah merujuk kepada kes batuk kering yang dikenal pasti terlebih dulu dan menjadi rujukan utama dalam siasatan kontak serta kawalan wabak.

“Di Selangor, terdapat empat kluster membabitkan 10 kes, manakala masing-masing Johor pula satu kluster dengan 37 kes direkodkan, sementara masing-masing satu kluster (dua kes) di Kedah dan Kelantan satu kluster (dua kes).

“Di Pahang pula satu kluster dengan empat kes, Perlis satu kluster dua kes dan Sabah satu kluster lima kes,” katanya.

Mengulas langkah bagi memerangi penyakit batuk kering membabitkan institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama dan penjara, Dr Dzulkefly berkata saringan dijalankan berdasarkan Tuberculosis Information System Manual 2018, (TBIS 2018), iaitu maklumat pengenalpastian, penilaian dan pemeriksaan kontak.

Katanya saringan yang dijalankan merangkumi penilaian gejala termasuk batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan dan susut berat badan, selain pemeriksaan klinikal dan x-ray paru-paru serta pemeriksaan kahak melalui mikroskop dan kultur.

“Langkah kawalan bagi mengekang penyebaran penyakit batuk kering ini adalah dengan memastikan mereka yang disahkan menghidap penyakit itu diberikan rawatan awal antituberkulosis.

“Bagi kontak rapat yang tidak menghidap batuk kering akan disaring untuk mengesan jangkitan batuk kering atau latent (jangkitan belum aktif) batuk kering dan dimulakan rawatan pencegahan batuk kering,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg