M’sia mahu tingkatkan pengambilan bekas banduan sebagai pekerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia mahu tingkatkan pengambilan bekas banduan sebagai pekerja

Oct 31, 2023 | 5:41 PM

M’sia mahu tingkatkan pengambilan bekas banduan sebagai pekerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
CARI REZEKI: Sektor pembinaan di Malaysia antara yang paling tinggi menggunakan tenaga kerja asing.
CARI REZEKI: Sektor pembinaan di Malaysia antara yang paling tinggi menggunakan tenaga kerja asing. - Foto JABATAN TENAGA KERJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berhasrat mahu meningkatkan penempatan bekas banduan dalam sektor pekerjaan di negara itu, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Encik V Sivakumar, berkata ramai bekas banduan terutama yang selesai menjalani hukuman kecil, mempunyai kemahiran tertentu menerusi latihan yang diberikan sepanjang dalam tahanan di penjara.

Katanya, kebanyakan bekas banduan yang menjalani hukuman penjara dalam tempoh pendek juga masih produktif untuk bekerja dan keupayaan mereka harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Banyak usaha diambil Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan ia dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk tujuan itu, malah banyak latihan juga diberikan kepada mereka.

“Ramai juga bekas banduan telah diberi peluang pekerjaan. Ketika di dalam tahanan penjara, mereka diberi latihan dan mendapat peluang pekerjaan selepas dibebaskan dari penjara.

“Kita boleh menggunakan tenaga dan kemahiran mereka (bekas banduan) untuk menggantikan pekerja asing,” katanya di Parlimen di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Encik RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan merancang menjadi pemudah cara antara majikan dengan pihak penjara untuk mengadakan persefahaman yang membenarkan bekas banduan menggantikan tenaga kerja asing terutama dalam sektor tertentu.

Mengulas mengenai jumlah pekerja asing dalam negara, Encik Sivakumar berkata unjuran jumlah keseluruhan kumpulan itu seramai 2.7 juta orang, setakat 30 September 2023.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif berjumlah 1.8 juta orang, manakala 152,158 adalah pekerja asing yang belum memasuki negara dan 747,167 pendatang asing tanpa izin yang berdaftar menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.

“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor tertentu yang sukar diisi tenaga buruh tempatan.

“Justeru, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalak tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang dikuasai pekerja asing.

“KSM menggalak industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg