KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil beberapa langkah dengan menetapkan garis panduan baru lebih ketat berkaitan lesen pengendalian umrah dalam usaha menangani isu penipuan umrah yang banyak berlaku ketika ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata garis panduan baru berkaitan lesen pengendalian umrah yang akan diumumkan pada Ogos ini merangkumi beberapa syarat.
Ini demi memastikan syarikat pengendali umrah menjalankan perniagaan mengikut ketetapan, mengambil kira semua aspek bagi membendung kes yang tidak diingini membabitkan bakal jemaah.
“Melalui beberapa siri libat urus yang telah diadakan sejak 2023, kita akan mengakreditasi syarikat umrah supaya ia lebih tersusun dan teratur.
“Ia termasuk bagi mengekang kes penipuan seperti yang disebutkan. Walaupun jumlah (kes) tidak signifikan tetapi masih memberikan satu petunjuk yang tidak sihat kepada industri umrah itu sendiri.
“Kriteria yang akan diumumkan pada Ogos akan pastikan syarikat pengendali umrah ini benar-benar melakukan perniagaan secara yang telah dijanjikan oleh mereka.
“Sepertimana yang kita mahukan juga, pakej yang telah diberikan oleh syarikat itu mestinya dipenuhi, seperti yang telah ditawarkan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 10 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Encik Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Ia berhubung syor kepada kementerian sama ada menimbang untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti aduan pakej umrah termasuk mahu mengetahui usaha yang dirangka bagi membantu mangsa penipuan umrah.
Difahamkan, di antara syarat baru yang bakal diperkenal dan dikuat kuasa mengandungi beberapa perkara.
Ini termasuk pengendali umrah perlu menyediakan jaminan bank bernilai RM200,000 ($57,343) dan modal berbayar syarikat baru pengendali umrah ditetapkan minimum RM500,000.
Dalam syarat itu nanti ia turut menggariskan penguatkuasaan kontrak perjanjian dengan bakal jemaah umrah dan kontrak perjanjian dengan syarikat pengendali di Arab Saudi.
Berdasarkan perangkaan yang dikongsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2019 hingga Mei 2024, sebanyak 252 kertas siasatan dibuka melibatkan kes penipuan umrah membabitkan kerugian RM9.81 juta.
Perangkaan Tribunal Tuntutan Penggunaan Malaysia (TTPM) dalam tempoh yang sama mencatatkan 1,549 kes dengan jumlah tuntutan RM29.58 juta dan pampasan berjumlah RM16.37 juta.
Kementerian sudah pun membuka 19 kertas siasatan berkaitan umrah dengan lapan kes dikompaun sebanyak RM241,000, manakala yang lain masih dalam siasatan ke atas agensi pengendali umrah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg