Malaysia menyambut ketibaan pasangan panda gergasi baru dari China, Chen Xing dan Xiao Yue, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama konservasi antara kededua negara.
Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.30 malam 18 November, bakal menjadi tumpuan di Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur, yang telah dinaik taraf sepenuhnya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan, memaklumkan kededua panda gergasi itu akan menjalani proses kuarantin, pemeriksaan kesihatan dan penyesuaian habitat sebelum diperkenalkan kepada orang ramai di Zoo Negara.
“Pasangan panda ini akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama satu bulan di bawah pengawasan rapi pasukan doktor haiwan dan penjaga berpengalaman sebelum ditunjukkan kepada orang ramai,” kata NRES pada 18 November.
Ketibaan dua panda gergasi itu menandakan simbol integriti dan persahabatan yang berkekalan antara Malaysia dengan China, melalui pemeteraian perjanjian baru pada 16 April lalu bersempena lawatan negara Presiden China, Encik Xi Jinping, ke Malaysia.
“Pemeteraian perjanjian ini membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi baru yang lebih muda untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035,” kata kenyataan NRES itu.
Hubungan Malaysia dan China dalam konservasi panda gergasi bermula lebih sedekad lalu sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi alam sekitar antara kededua negara.
Sebelum ini dalam fasa pertama kerjasama konservasi itu, Malaysia menerima pasangan panda gergasi pertama - Fu Wa dan Feng Yi, pada 2014, yang kemudian telah dihantar kembali ke China pada Mei lalu selepas 11 tahun menetap di Malaysia.
Projek berkenaan bertujuan memelihara spesies panda yang semakin terancam serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg