Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia sedia gerak aset bantu Indonesia tangani jerebu
Usulan bantuan jerebu masih menunggu pengesahan dan kebenaran Indonesia
M’sia sedia gerak aset bantu Indonesia tangani jerebu
PUTRAJAYA: Malaysia sedia menggerakkan aset bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu, namun masih menunggu pengesahan serta kebenaran daripada negara berkenaan.
Ketika ini Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di negara itu, menyusuli peningkatan risiko kebakaran serta jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan pada 10 September, berkata menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, mengutus surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Encik Mohammad Jumhur Hidayat, bagi menyatakan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan berkenaan.
Menurut kementerian itu, tawaran berkenaan dibuat selepas perbincangan Datuk Arthur bersama Encik Mohammad Jumhur pada pertemuan dua hala di Bali, Indonesia, pada 8 Julai lalu, selain perbualan telefon antara kedua-dua menteri pada 24 Ogos.
“Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi menghadapi risiko kebakaran dan jerebu merentas sempadan.
“Ia khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas dan kering di rantau ini,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu pada 9 September, jurucakap Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Malaysia sedia menghantar bantuan dan menggerakkan aset ke Indonesia bagi membantu menangani kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu.
“Pihak Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan Wisma Putra memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa senarai aset-aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran sudah disampaikan (dimaklumkan kepada negara jiran).
“Tetapi sehingga sekarang belum ada pengesahan mengenai apa-apa bentuk kerjasama untuk mengguna pakai aset dari Malaysia untuk membantu memadam kebakaran dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat Asean berhubung isu pembakaran terbuka di Indonesia, yang didakwa menyumbang kepada keadaan jerebu yang semakin buruk, khususnya di Sarawak.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya di negara berkenaan bagi membincangkan isu itu.
Beliau berkata, isu pencemaran udara perlu ditangani sebaik mungkin bagi memastikan masalah berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.
Pada 8 September, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata mekanisme Asean sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan perlu ditambah baik.
Datuk Anwar turut berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh menteri berkaitan di peringkat Asean, berikutan jerebu yang memberi kesan buruk terhadap kehidupan manusia, khususnya kanak-kanak dan bayi.
