KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memperkenalkan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat pekerja asing di negara itu, dengan kadar caruman ditetapkan sebanyak 2 peratus.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar 2 peratus itu jauh lebih rendah daripada cadangan asal, iaitu sebanyak 12 peratus.
Menurutnya, kadar itu adalah jumlah yang kecil dan tidak membebankan majikan, sementara kerajaan terus menilai keadaan semasa sebelum membuat sebarang perubahan.
“Caruman KWSP bagi pekerja asing mesti ditetapkan. Namun, terdapat sedikit kekeliruan sama ada ia boleh dikumpulkan atau tidak. Oleh itu, kita menetapkannya pada kadar 2 peratus, yang sebenarnya sangat rendah.
“Kita buat keputusan untuk mengekalkan kadar tersebut buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur pada 3 Februari, lapor Kosmo!.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, Datuk Anwar menegaskan komitmen kerajaan Malaysia untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, menerima layanan adil selaras dengan piawaian antarabangsa.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan merancang mewajibkan semua pekerja asing mencarum dalam KWSP, dengan pelaksanaannya dijalankan secara bertahap. Ketika ini dianggarkan seramai 3.4 juta pekerja asing berada di Malaysia.
Pada masa ini, kadar caruman KWSP bagi pekerja tempatan ialah 13 peratus dan 11 peratus masing-masing untuk majikan dan pekerja.
Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik penetapan kadar 2 peratus bagi caruman KWSP pekerja asing di Malaysia.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergelut dengan masalah aliran tunai akibat cabaran ekonomi semasa dan kadar 2 peratus yang ditetapkan untuk caruman majikan memberi kelegaan kewangan yang ketara kepada perniagaan PKS.
“MEF menyokong keputusan menetapkan caruman majikan KWSP pada kadar 2 peratus walaupun kami sedar bahawa ia akan memberi kesan kepada kos operasi. Caruman majikan sebanyak 2 peratus itu dibuat bagi menangani cabaran ekonomi semasa yang mendesak,” katanya.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, pula berkata pelaksanaan kadar caruman mandatori KWSP sebanyak 2 peratus bagi pekerja asing itu mencerminkan usaha berterusan untuk menyeimbangkan kebajikan pekerja dengan kelangsungan perniagaan di Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg