KOTA BHARU: “Sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan dan selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.”

Dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, seorang lagi mangsa yang turut dirempuh, cedera parah dan kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis berhubung kejadian itu, lapor Berita Harian Malaysia.

“Namun di pihak saya sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan. Saya juga reda dengan takdir yang menimpa anak saya dan kami sekeluarga.

“Malah ketika berada di lokasi, sebaik melihat jasad anak terbujur kaku, saya hanya bertanya siapa yang melanggar anak saya dan guru berkenaan mengaku bahawa dia yang melanggar Nur Fatimatul.

Jenazah Nur Fatimatul, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gayong dekat Taman Uda Murni di sini pada 9 malam 12 April.

Lebih 200 ahli keluarga, jiran, guru dan pelajar iaitu rakan kepada arwah hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan itu.

Ahli keluarga termasuk rakan sekolah arwah dan warga pendidik dilihat tidak dapat menahan kesedihan sepanjang upacara pengebumian berlangsung.

Jenazah disemadikan bersebelahan pusara ibunya, Siti Maheran Noor, yang meninggal dunia pada 2021.

Terdahulu, media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita, di hadapan surau sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Timbalan Suruhanjaya Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.

Akibat kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi parah dan menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, ibu saudara Nur Fatimatul, Cik Zuraifah Noor, 43 tahun berkata:

“Saya sebagai ibu saudara yang juga penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu juga sedia untuk memaafkan.”

Namun katanya, pihak keluarga masih dalam keadaan terkejut dengan insiden yang berlaku dan belum bersedia untuk memikirkan sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak.

“Setakat ini, keluarga tidak bercadang untuk mengambil tindakan sendiri kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.”

Beliau berkata jika difikir secara logik kejadian yang berlaku memang tidak masuk akal kerana di tempat yang tidak sepatutnya ada kereta, tiba-tiba berlaku kemalangan.

“Kita percaya ini semua ketentuan Allah swt. Kita manusia tiada siapa yang mahu melanggar orang dengan sengaja. Apa yang berlaku di luar jangka,” katanya.

Pada masa sama, Cik Zuraifah turut berkongsi beliau sempat bertemu dengan ahli keluarga guru yang melanggar anak saudaranya ketika masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Masa jumpa, saya nak kata marah pun tidak. Perasaan itu kosong. Kami hanya bersalam, tetapi tidak mampu bercakap panjang.

“Saya mungkin boleh memaafkan, tetapi ahli keluarga lain saya tidak pasti,” katanya.