Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nenek, cucu rentung dalam kebakaran di Sabah

May 20, 2025 | 1:21 PM
kebakaran, Pulau Penampang, Kota Kinabalu, Sabah
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memadamkan kebakaran di sebuah rumah yang mengorbankan seorang nenek dan cucu perempuannya di Kampung Pulau Penampang, dekat Kota Kinabalu, Sabah, pada awal pagi 20 Mei. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

KOTA KINABALU (Sabah): Seorang nenek dan cucu perempuannya rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, dekat Kota Kinabalu, Sabah, pada awal pagi 20 Mei.

Mayat Ruslia @ Gisis Guntamas, 80 tahun, ditemui berhampiran cucunya, Joeynita Abdul Alip, 14 tahun, pada 7.13 pagi dan 7.33 pagi selepas kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi itu.

Difahamkan, rumah berkenaan dihuni enam sekeluarga, namun empat yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Penolong Pesuruhjaya Kasim Muda, ketika ditemui di lokasi, berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

“Kita masih menunggu laporan lanjut daripada pasukan forensik bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Encik Muhammad Taqiuddin Victor Doon, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada 5.22 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal di Lorong Gusin 3, yang terbakar hampir 90 peratus.

“Bomba terus melaksanakan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada 5.55 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya dimaklumkan seorang wanita warga emas dan seorang remaja perempuan terperangkap di dalam rumah berkenaan.

“Sebaik api dipadamkan, mangsa pertama berjaya ditemui pada 7.13 pagi sebelum cucunya dikeluarkan 20 minit selepas itu.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tragedi itu mengulangi kejadian malang pada 1 Februari 2024, apabila seorang nenek berusia 60 tahun dan cucu perempuannya ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Matan, di Ranau, Sabah.

Mayat Cik Jafflan Sigal, 60 tahun, dan cucunya dikenali sebagai Carla berusia empat tahun ditemui di dalam bilik oleh pasukan bomba sejurus sahaja api dipadamkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg