Operasi kilang sawit digantung susulan pencemaran sungai di Kota Tinggi
Operasi kilang sawit digantung susulan pencemaran sungai di Kota Tinggi
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menggantung operasi kelengkapan sebuah kilang memproses kelapa sawit susulan insiden pencemaran air Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, yang dilaporkan berlaku pada 25 Januari.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata tindakan tegas itu diambil selepas siasatan mendapati berlaku kegagalan serius pada sistem pengolahan efluen premis terbabit yang menyebabkan efluen mentah mengalir terus ke punca air dan mencemarkan sungai.
Tambahnya, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan telah menggerakkan sepasukan pegawai penguat kuasa ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan daripada wakil penduduk kampung yang melaporkan perubahan warna air sungai menjadi hitam.
“Hasil peluasan radius siasatan dan penjejakan di sepanjang alur sungai membawa kepada pengesanan punca pencemaran yang dipercayai berpunca daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit yang beroperasi di kawasan Layang-Layang.
“Siasatan teknikal yang dijalankan di premis berkenaan menemukan bukti pelanggaran serius apabila struktur saluran ‘furrow’ atau saluran efluen di dalam kawasan kilang didapati pecah, sekali gus menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir ke sistem sungai berhampiran.
“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem sungai, malah memberi kesan langsung kepada kehidupan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Januari.
Susulan penemuan tersebut, JAS Johor telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis terbabit, selain menggantung lesen operasi kilang sehingga kerja penambahbaikan dan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan undang-undang dilaksanakan.
Tindakan itu bertujuan menghentikan serta-merta punca pencemaran dan mengelakkan kejadian berulang.
Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Famey berkata JAS Johor turut menahan pengurus kilang dan seorang operator di bawah Seksyen 37(C) akta sama bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan pendakwaan diambil di mahkamah.
Tegas beliau, JAS tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah alam sekitar yang mengancam kelestarian sumber semula jadi dan keselamatan awam.
Pada 25 Januari, pencemaran air kembali dikesan di Sungai Sayong, Kota Tinggi, apabila air sungai berkenaan dilaporkan bertukar warna gelap kehitaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat terhadap keselamatan alam sekitar dan sumber perikanan.

