Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Padam api ISIS di M’sia sebelum merebak dan meledak

Jul 7, 2024 | 5:30 AM
ISIS
Di Malaysia, seramai lapan individu tempatan disyaki mempunyai kaitan dengan ISIS ditahan menerusi operasi khas di empat negeri pada 22 dan 23 Jun. - Foto BAHAGIAN ANTI-PENGGANAS (E8) CAWANGAN KHAS

Sudah 10 tahun sejak ISIS mengisytiharkan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai ‘khalifah pertama’ dan menukar nama kumpulan itu daripada Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) kepada Negara Islam (IS) pada 29 Jun 2014.

Ia menjadikan tarikh 29 Jun 2024 sebagai ulang tahun peristiwa itu ke-10, tetapi pastinya ia menjadi detik hitam yang seboleh-bolehnya ingin dilupakan dunia, termasuk umat Islam sendiri.

Ini kerana sejak Abu Bakar al-Baghdadi menaiki mimbar Masjid Nuri, Mosul di Iraq itu, kita melihat keganasan pada skala tidak pernah disaksikan dalam sejarah ekstremisme yang dilakukan atas nama Islam, sekurang-kurangnya beberapa ratus tahun kebelakangan.

Daripada hukuman bunuh sembarangan membabitkan tebusan dalam kalangan wartawan dan sukarelawan kemanusiaan kepada serangan ganas terhadap minoriti Kristian, Yazidi dan umat Islam sendiri bukan sahaja golongan Syiah, bahkan ulama serta ahli sufi daripada Ahli Sunah Wal Jamaah, semuanya dibuat atas nama ‘jihad’ dan ‘takfir’.

Malah, hukuman bunuh dilaksanakan dan ditularkan di media sosial tidak dapat dibayangkan, termasuk dengan membakar serta melemaskan tebusan yang mereka culik.

Keganasan ISIS tidak terhad di Iraq dan Syria sahaja, bahkan serangan kumpulan atau individu secara sendirian atau lone wolf menjadi seperti wabak hingga ke Afrika dan Eropah.

Ini kerana sesiapa sahaja boleh direkrut dan berbaiah dengan ISIS, terutama dengan kemajuan teknologi maklumat apabila kumpulan itu betul-betul mengeksploitasi media sosial untuk mencari anggota yang biasanya tidak memiliki latar belakang pendidikan agama sebenar dan bermasalah dari segi sosiopolitik hingga mudah dipancing secara emosional.

Bagaimanapun, tindak balas tentera Iraq dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) dipimpin Kurdi, selain serangan udara gabungan Amerika Syarikat dan Russia akhirnya menolak ISIS ke arah kejatuhannya.

Pada masa sama, keganasan ISIS sendiri ditentang umat Islam, terutama alim ulamanya baik daripada kumpulan Forum Mempromosi Keamanan dalam Umat Islam dengan tokoh terkenal, Sheikh Abdallah Bin Bayyah dan Sheikh al-Azhar dan Profesor Dr Mohammad Ahmad Tayyib mahupun Kesatuan Ulama Sedunia di bawah Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi.

Hasilnya, ISIS tumbang pada 2019, manakala Abu Bakar al-Baghdadi meletupkan diri bersama dua anaknya dalam satu serangan pada 27 Oktober 2019.

Bagaimanapun, ketika mayat Abu Bakar al-Baghdadi dikebumikan di laut, ia tidak disusuli dengan puing dan debu keruntuhan ISIS kerana kumpulan itu menamakan, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi, sebagai pengganti meskipun tanpa ‘negara’.

Malah, sejak itu, tiga pemimpin utamanya silih berganti setiap kali dibunuh, manakala kumpulan yang berbaiah dengan ISIS terus mengganas dalam skala tersendiri tidak kira sama ada di negara Islam lain mahupun di Barat melalui individu bertindak secara lone wolf.

Di benua Afrika, kumpulan berbaiah itu bukan sahaja bertempur dengan pasukan keselamatan di negara terbabit, bahkan menumpahkan darah sesama kumpulan ekstremis lain yang setia dengan Al-Qaeda.

Buku, The Islamic State in Africa: The Emergence, Evolution and Futures of the Next Jihadist Battlefront, tulisan Jason Warner, memperincikan siri kemunculan dan perkembangan kumpulan berbaiah dengan ISIS di Libya, Algeria, Sinai di Mesir, Tunisia, Wilayah Afrika Barat, Somalia, Congo dan Mozambique.

Ini bermakna ideologi ganas tidak mati dengan kekalahan ISIS, sebaliknya muncul dalam pelbagai bentuk termasuk kumpulan berbaiah atau individu terpukau dengan indoktrinasi mereka.

Di Malaysia sendiri, seramai lapan individu tempatan disyaki mempunyai kaitan dengan ISIS ditahan menerusi operasi khas di empat negeri pada 22 dan 23 Jun 2024.

Tiga individu termasuk pasangan suami isteri, seorang penganggur dan pekerja kilang masing-masing dihadapkan ke mahkamah sesyen di Johor Bahru, Segamat dan Kota Tinggi, manakala seorang pekerja restoran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Jumlah ini secara relatifnya masih kecil dan terkawal berbanding negara lain yang berdepan ancaman serius, tetapi ia tidak boleh dipandang remeh semata-mata bersifat terpencil.

Ini kerana dengan kepantasan dunia digital, proses indoktrinasi ideologi keganasan dan ekstremisme menjadi lebih mudah dan cepat ibarat api menjalar dalam sekam.

Malah, letusan yang berlaku tidak semestinya membabitkan satu kumpulan besar, sebaliknya boleh dilakukan beberapa individu dengan modus operandi lone wolf seperti di Barat atau menyasarkan sasaran strategik, termasuk balai polis dan pusat beli-belah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui mempunyai instrumen risikan yang cekap, tetapi masyarakat tidak boleh menyerahkan usaha memadamkan api ekstremisme kepada pihak berkuasa semata-mata.

Antara benteng paling ampuh berdepan dengan ISIS adalah pendidikan agama berteraskan kefahaman sebenar iaitu Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sama ada dari segi sejarah mahupun undang-undang.

Justeru, apa jua trend dan aliran yang menimbulkan usaha mengkafirkan umat Islam atau menyesatkan dan membidaahkan amalan sudah diterima dalam agama, tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu dipadamkan dengan ilmu.

Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg