PETALING JAYA: Virus penyakit Newcastle (NDV) yang membunuh burung tidak dikesan dalam kilang yang menghasilkan produk sarang burung dan dalam produk itu sendiri di Malaysia yang kini sedang dipantau secara rasmi, kata Jabatan Khidmat Veterinar (DVS) negara itu.
DVS berkata demikian menyusuli permohonan pemerintah China supaya eksport semua sarang burung dari Malaysia ke negara itu digantung, selepas penyakit virus burung itu dikesan di Malaysia pada Mac 2024.
“Pentadbiran Umum Kastam China (GACC) telah memohon supaya DVS menghentikan sebarang eksport sarang burung dari Malaysia sejak 20 Disember 2024. Ini termasuk sarang burung mentah yang dibersihkan untuk dimakan dan sarang burung mentah yang belum dibersihkan untuk dimakan, selaras dengan Protokol Produk Sarang Burung yang Dieksport dari Malaysia ke China,” kata DVS dalam kenyataan pada 31 Disember.
NDV, yang hanya menyebabkan simptom ringan jika menjangkiti manusia, diketahui menyebabkan simptom teruk pada burung, yang menyebabkan maut dan mengancam industri pertanian ayam itik, lapor The Straits Times.
Penyakit itu dikesan pada ayam dan itik di Malaysia lebih awal iaitu dari Mac hingga Jun 2024, seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia.
Jabatan itu berkata sekurang-kurangnya 22 pakej mengandungi 1.8 tan sarang burung bernilai RM7.23 juta ($2.2 juta) dari 13 pengeksport Malaysia kini menghadapi isu untuk melepasi kastam di sempadan China.
Berhubung perkara ini, DVS berkata ia telah mengadakan perbincangan dengan penghasil dan pengeksport sarang burung dari Malaysia untuk berbincang dengan mereka apa yang diperlukan supaya penggantungan ditarik balik.
“DVS telah mengirimkan laporan terperinci kepada GACC berhubung status epidemik NDV di Malaysia dan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengawal penularannya, demi memberi jaminan produk sarang burung Malaysia yang dihantar ke China bebas virus,” ujar jabatan itu.
Pada 28 Disember, akhbar The Star dari Malaysia melaporkan penghasil sarang burung di negara itu mengalami tekanan selepas 15 tan produk sarang burung bernilai RM$50 juta dari Malaysia tidak boleh dipasarkan selepas digantung secara serta-merta daripada dieksport oleh China.
Buat masa ini, Malaysia adalah antara empat negara yang dibenarkan mengeksport sarang burung ke China, selain daripada Indonesia, Thailand dan Vietnam.
China kekal sebagai pengguna paling banyak sarang burung - merangkumi 94 peratus penggunaan sedunia - yang dihasil menggunakan air liur burung walit (swiftlet).
Sehingga September 2024, Malaysia dilaporkan mengeksport 102 tan sarang burung ke China.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg