JOHOR BAHRU: Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di sekitar Johor Bahru pada 13 Oktober bagi membantu menghasilkan hujan dan mengurangkan kesan jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata operasi itu dilaksanakan selepas keadaan jerebu di Johor memenuhi prosedur ditetapkan, selain keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk proses pembenihan awan.

Beliau berkata Johor pada asalnya tidak termasuk dalam perancangan OPA minggu ini yang memberi tumpuan kepada kawasan utara Semenanjung, namun operasi berkenaan dilaksanakan susulan keadaan jerebu semasa.

“Berdasarkan prosedur berkaitan jerebu, OPA boleh dilaksanakan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, tertakluk kepada keadaan cuaca bersesuaian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada 13 Oktober.

Dr Mohd Hisham berkata fasa peralihan monsun ketika ini turut menyediakan keadaan lebih kondusif bagi operasi berkenaan susulan udara yang lebih lembap serta potensi pembentukan awan hujan yang lebih tinggi, lapor Bernama.

“Sekarang sudah fasa peralihan monsun, udara lembap dan kebarangkalian pembentukan awan hujan tebal itu tinggi. Bila kita buat operasi ini, kita mahu pastikan kawasan sasaran itu menerima hujan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan jerebu di Johor dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi berikutan tiupan angin dari kawasan kebakaran di Kalimantan, Indonesia, dan keadaan lebih mencabar apabila kawasan berkenaan dilaporkan tidak menerima hujan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, selagi kebakaran berterusan dan arah angin kekal membawa asap ke Johor, keadaan jerebu berpotensi berulang walaupun hujan dapat dihasilkan menerusi OPA.

Dr Mohd Hisham berkata MetMalaysia menjangkakan arah angin mula berubah kepada timur laut dalam tempoh satu hingga dua minggu atau sekitar penghujung bulan ini yang berpotensi membantu mengurangkan kemasukan asap ke Johor.

Terdahulu, Pasir Gudang mencatat bacaan IPU tertinggi dalam senarai kawasan tidak sihat di Malaysia, iaitu 177 setakat 1 petang pada 14 Oktober.

Tujuh kawasan pemantauan di Johor berada dalam kategori tidak sihat, dengan bacaan antara 146 dengan 177.

Selain Pasir Gudang, Pengerang merekodkan bacaan 168, diikuti Kota Tinggi (167), Larkin (165), Batu Pahat dan Kluang (masing-masing 152), serta Tangkak (146).

Berdasarkan senarai bacaan tersebut, sebanyak 28 kawasan pemantauan di seluruh negara mencatat kualiti udara tidak sihat.

Klang dan Johan Setia di Selangor masing-masing merekodkan IPU 175, diikuti Nilai di Negeri Sembilan (174), Bukit Rambai di Melaka (171) serta Cheras di Kuala Lumpur (170).