Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemuda Umno batal himpunan isu bendera terbalik di P. Pinang

Aug 11, 2025 | 11:42 AM
Pemuda Umno, himpunan, Pulau Pinang
Video tular memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, yang memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik. - Foto viral

KEPALA BATAS (Pulau Pinang): Pemuda Umno membatalkan rancangannya untuk mengadakan ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’ pada 11 Ogos yang pada mulanya direncana diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang, sebagai membantah pemilik kedai yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Dalam satu kenyataan, sekretariat Pemuda Umno berkata keputusan itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak Pemuda Umno Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak, khususnya rakan media,” tambah sekretariat Pemuda Umno.

Pada 10 Ogos, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menangguhkan rancangannya untuk “mendidik” pemilik kedai berkenaan cara mempamerkan Jalur Gemilang selepas polis menahan seorang lelaki berhubung kes itu.

“Disebabkan polis telah menangkap dan lelaki yang kibar bendera Malaysia terbalik ini akan didakwa esok (11 Ogos), maka kami memberikan ruang seluasnya pada pihak pendakwa untuk menjalankan proses undang-undang. Maka kelas untuk mengajar pasang bendera kepadanya esok akan ditangguhkan.

“Kami desak agar pihak pendakwa raya, dan memohon pada pihak mahkamah, agar individu ini didakwa dan dikenakan hukuman yang berat agar dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak pada masa yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor Malaysiakini.

Meski pemangku ketua polis Pulau Pinang, Encik Alwi Zainal Abidin, mengesahkan penahanan itu, tidak jelas bila lelaki itu akan didakwa di mahkamah kerana polis akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada 11 Ogos, bersama-sama dengan cadangan tuduhan.

Encik Alwi juga berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Pada 9 Ogos, akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, melaporkan bahawa pemilik kedai, Encik Feng Jin Zhen, menjelaskan bahawa beliau sedang mengukur panjang sebatang tiang besi semasa menggantung bendera itu dan tidak menyedari ia terbalik.

Apabila menyedari bendera itu terbalik, Encik Feng berkata beliau segera membetulkannya.

Beliau juga berkata tidak menyedari keseluruhan proses telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook, dan kesal kerana video itu tidak merakam apabila kedudukan bendera telah diperbetulkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg