KUALA LUMPUR: Pemuda Umno perlu memperbaharui cara mendekati rakyat dan menyesuaikan gerak kerjanya dengan perubahan dunia digital serta kecerdasan buatan bagi memastikan perjuangan parti terus diterima generasi muda.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata sejarah dan jasa pejuang terdahulu mesti dipertahankan, namun pendekatan lama tidak boleh digunakan tanpa mengambil kira perubahan pemikiran serta keperluan golongan muda hari ini.

“Dunia telah berubah, maka cara kita berjuang juga wajib berkembang.

“Sejarah dan jasa pejuang terdahulu wajib kita kenang dan pertahankan. Namun, jangan sampai kita terlalu asyik menoleh ke belakang hingga lupa bahawa generasi hari ini membesar dalam dunia digital, media sosial dan kecerdasan buatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 September.

Encik Mohd Hairi berkata prinsip dan akar perjuangan Umno tidak harus digadaikan, tetapi bahasa serta kaedah yang digunakan untuk mendekati rakyat perlu sentiasa diperbaharui.

Menurutnya, Pemuda Umno harus menjadi penghubung antara sejarah dengan masa hadapan, pengalaman dengan teknologi, perjuangan dengan penyelesaian serta idealisme dengan keberanian untuk bertindak.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Encik Mohd Hairi Mad Shah (tengah), pada Persidangan Sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Encik Mohd Hairi Mad Shah (tengah), pada Persidangan Sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto FACEBOOK HAIRI MAD SHAH

“Pusaka perjuangan hampir lapan dekad ini bukan sekadar untuk dikenang. Ia mesti diteruskan dengan bahasa, pendekatan dan keberanian yang selari dengan zamannya.

“Akar jangan dicabut dan prinsip jangan digadai, tetapi cara kita mendekati rakyat mesti sentiasa diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata isu yang dihadapi anak muda kini jauh melangkaui politik dan merangkumi peluang pekerjaan, gaji yang setimpal, kos sara hidup, ekonomi gig, pemilikan rumah pertama, pengangkutan awam dan keusahawanan.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno perlu memahami keresahan generasi muda, membawa penyelesaian nyata dan memperjuangkan masa depan mereka dengan bersungguh-sungguh.

“Pemuda tidak boleh sekadar menjadi pelengkap dalam perjuangan. Pemuda mesti diberikan ruang, kepercayaan dan peluang untuk memimpin serta membuktikan kemampuan.

“Di gelanggang inilah Pemuda Umno mesti berdiri. Kita mesti menjadi suara yang memahami keresahan anak muda dan memperjuangkan masa depan mereka dengan sepenuh jiwa,” katanya.

Encik Mohd Hairi berkata gabungan pemimpin berpengalaman dengan muka baru yang diberikan kepercayaan dalam pilihan raya negeri telah membuktikan kemampuannya menjadi antara kekuatan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, pengalaman pemimpin lama perlu dipertahankan, manakala generasi pelapis mesti dipersiapkan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Beliau berkata perkara itu antara yang diberikan perhatian sepanjang dua hari Persidangan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Malaysia yang menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara pada 9 dan 10 September.

Persidangan dimulakan dengan pembukaan serentak oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum Persidangan Pergerakan Pemuda Umno diteruskan pada hari kedua dengan ucapan dasar ketuanya, Dr Akmal Saleh.

Sebanyak 17 pembahas turut menyampaikan pandangan, teguran dan gagasan masing-masing sepanjang persidangan tersebut.

Encik Mohd Hairi berkata perbezaan pandangan tidak seharusnya menjejaskan kesatuan kerana semua perwakilan berkongsi matlamat perjuangan yang sama.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera Pemuda atas usaha dan pengorbanan yang membantu BN mencapai kemenangan cemerlang di Johor.