Penganjur pesta di Kelantan langgar syarat percampuran lelaki, perempuan berdepan denda RM30,000

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganjur pesta di Kelantan langgar syarat percampuran lelaki, perempuan berdepan denda RM30,000

Feb 4, 2026 | 12:50 PM

Penganjur pesta di Kelantan langgar syarat percampuran lelaki, perempuan berdepan denda RM30,000

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penganjur pesta didenda, Kelantan, langgar syarat percampuran lelaki, perempuan
Pelanggaran serius berlaku semasa persembahan pada konsert penutup apabila sekumpulan penonton didapati menari dan melompat-lompat selain berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita.  - Foto tangkap layar video tular

KOTA BHARU (Kelantan): Penganjur Makar Fest XL di Kota Bharu, Kelantan, dikenakan tindakan tegas.

Wang cagaran RM8,000 ($2,593) dirampas kerana melanggar syarat hiburan, iaitu percampuran bebas lelaki dan perempuan semasa konsert penutup festival makanan itu di Tunjong pada 31 Januari lalu.

Selain rampasan cagaran, penganjur turut berdepan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.

Encik Hilmi Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, berkata keputusan ini dibuat selepas meneliti laporan penguat kuasa dan video tular 40 saat di media sosial.

Jelas beliau, ekspo jualan dan makanan tiga hari – dari 29 hingga 31 Januari di tapak letak kereta Pasaraya Mydin Tunjung itu – mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

“Bagaimanapun kelulusan tersebut tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang tempoh penganjuran,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Februari, lapor laman web Astro Awani.

Menurut Encik Hilmi, pemantauan mendapati semua artis jemputan termasuk Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang, Wargaswara, dan artis dikir, mematuhi garis panduan.

“Bagaimanapun, pelanggaran serius berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup sekitar 10.30 malam apabila sekumpulan penonton didapati menari dan melompat-lompat selain berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita,” katanya.

Encik Hilmi menyatakan, meskipun penguat kuasa telah mengeluarkan beberapa individu provokatif dan penonton yang melanggar garis panduan, keadaan gagal dikawal dan insiden sama berulang.

“Penganjur didapati cuai, gagal atau enggan menghentikan persembahan bagi mengawal situasi.

“Turut dikesan ialah kegagalan menyediakan petugas keselamatan yang mencukupi seperti yang disyaratkan, sekali gus membenarkan percampuran lelaki dan wanita berlaku tanpa kawalan,” katanya.

Susulan itu, katanya, Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, selain gagal mematuhi syarat lesen dan garis panduan hiburan negeri.

Encik Hilmi menegaskan, kerajaan negeri tidak menafikan keperluan rakyat untuk berhibur dan menyokong festival makanan sebagai medium menjana pendapatan peniaga kecil serta mempromosikan pelancongan negeri.

Namun, katanya, aspek adab, budaya dan akhlak, terutamanya melibatkan generasi muda tidak boleh dikompromi.

“Kerajaan Kelantan akan terus menyokong penganjuran festival makanan pada masa depan selagi penganjur mematuhi peraturan serta garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg