KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didenda RM8,000 ($2,440) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas mengaku salah menganiaya seorang bayi lelaki berusia 18 hari dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu kanak-kanak itu, pada September lalu.
Hakim Dr Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Hew Foong Chun, 66 tahun, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula 7 Oktober.
Mengikut tuduhan, Hew didakwa melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia 18 hari ketika kejadian dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu mangsa sehingga boleh menyebabkan kesihatan mangsa terjejas.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Jalil, Cheras, Kuala Lumpur, pada 2.21 pagi, 15 September lalu, lapor Astro Awani.
Mengikut fakta kes, bapa bayi berkenaan selaku pengadu telah mengupah wanita itu sebagai pengasuh untuk menjaga bayi yang baru lahir itu selama 20 hari dengan gaji RM4,500 di kediaman pengadu.
Bagaimanapun pengadu menyedari anaknya itu hanya tidur setiap hari dan kesihatannya tidak seperti bayi lain.
Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melihat tertuduh memasukkan ubat selesema ke dalam botol susu dan memberi bayi itu minum walaupun bayi itu sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai penyakit semput, diabetes, darah tinggi serta masalah pendengaran dan penglihatan.
“Saya meminta maaf atas kesalahan saya. Saya tidak sengaja buat demikian. Ingat dia (bayi) ada selesema sebab itu saya bagi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg