Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penipuan akibatkan kerugian RM687j di Malaysia

Oct 19, 2023 | 1:23 PM
USAHA TANGANI: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik Ramkarpal Singh, berkata kerajaan Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi menangani jenayah penipuan.
USAHA TANGANI: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik Ramkarpal Singh, berkata kerajaan Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi menangani jenayah penipuan. - Foto JABATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kerugian berjumlah RM687 juta ($197.15 juta) direkodkan di Malaysia daripada pelbagai bentuk penipuan sepanjang 2023.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik Ramkarpal Singh, berkata jumlah kes penipuan pada 2023 turun kepada 19,220 daripada 25,609 pada 2018, dengan kerugian mencecah RM23 bilion.

Dari 2021 hingga Julai 2023, sebanyak 183 tuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, menurutnya.

“Bagi tuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, sebanyak 22,837 pendakwaan dikemukakan.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,221 orang dijatuhkan hukuman,” ujar beliau pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, lapoar Berita Harian Malaysia pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkaitan jumlah kerugian dan bilangan mangsa penipuan.

Encik Ramkarpal berkata pelbagai tindakan dan langkah diambil kerajaan dalam menangani jenayah scam membabitkan Pusat Antijenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut beliau, NFCC, yang menerajui penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan, menerima 53,783 panggilan dari Oktober 2022 hingga 30 September 2023, merangkumi laporan kes penipuan dan khidmat nasihat.

“Antara langkah yang diambil NFCC ialah meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang perlu dipinda, termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

“PDRM juga mewujudkan laman web ‘Semak Mule’ bagi kemudahan orang awam membuat semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon yang pernah ada laporan polis atau terbabit dengan siasatan pihak polis,” kata beliau.

Encik Ramkarpal berkata MCMC menyekat 2.6 bilion panggilan yang disyaki terbabit dalam perbuatan jenayah dalam talian setakat September lalu.

“Dari Oktober 2022 hingga Ogos 2023, sebanyak 1,732 kes diterima dan dirujuk kepada MCMC, 134 nombor talian ditamatkan kerana terbabit dengan aktiviti penipuan dan 21 nombor talian meragukan disekat.

“Sejak 1 Januari hingga 31 Ogos 2023, sejumlah 1,247 laman sesawang berkaitan penipuan untuk pemancingan maklumat (phishing) disekat oleh MCMC,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg