SHAH ALAM: Penyanyi rap Malaysia, Caprice, diperintahkan memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 ($62,912) kepada Ebit Lew kerana memfitnah pendakwah bebas itu pada 2023.

Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor, yang membuat keputusan itu pada 17 Ogos juga memerintahkan Caprice membuat permohonan maaf dan memadamkan tujuh kenyataan bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo, dalam tempoh 48 jam.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor juga memutuskan penyanyi itu tidak boleh mengeluarkan komen atau membuat kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42 tahun, pada masa akan datang.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak tuntutan balas Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40 tahun, dengan alasan ia tidak berasas.

Di media sosialnya, Caprice memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam, itu yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada Ebit.

Menerusi media sosialnya, Caprice memuat naik video memberitahu sudah memaklumkan peguamnya untuk merayu keputusan terbabit ke Mahkamah Tinggi.

“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengemukakan rayuan di atas keputusan itu.

“Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, di Mahkamah Tinggi (nanti) kita ada peluang yang lebih baik,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 15 September 2023, Caprice dipercayai memuat naik rakaman video memaparkan beliau dengan Mondy sebagai tetamu jemputan.

Plaintif mendakwa rakaman itu antara lain membawa maksud Ebit melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta ‘penunggang agama’.

Ebit mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.

Menurutnya banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice akibat penerbitan video itu.

Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan Caprice dan Mondy itu telah menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.

Pada 29 September tahun sama, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.

Sementara itu, dalam kenyataan Ebit di laman sosial Facebook, beliau mengucapkan kesyukuran di atas kemenangan kes itu.

Ebit ketika ini masih menjalani kes di Mahkamah Majistret Tenom di Sabah, dan diperintahkan membela diri pada April lalu, atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Majistret Nur Asyraf Zolhani, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit dan menetapkan 13 hingga 16 Oktober ini untuk beliau membela diri.