Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi Yasin terlepas hukuman penjara seumur hidup akibat dadah

Apr 28, 2025 | 5:23 PM
Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya. - Foto fail

PUTRAJAYA: Selepas dijel selama tiga tahun, penyanyi, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan, melibatkan tiga kes dadah pada Isnin.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Yasin, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut tempoh perkenan sultan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menerima rayuan terakhir Yasin, 50 tahun, selaku perayu dengan mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, lapor akhbar Sinar Harian.

Selepas keputusan dibaca, penyanyi lagu Mimpi Laila itu melemparkan ‘flying kiss’ kepada ahli keluarga dan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik di atas kejayaan tersebut.

Mendengar keputusan itu, riak wajah ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 17 tahun, tersenyum dan melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hakim Che Mohd Ruzima berkata mahkamah mengembalikan hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepaskan dan membebaskannya.

Pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.

Bagi kes dalam pemilikan dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, komposer itu dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Kes menanam 17 pokok kanabis pula, duda anak dua berkenaan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan; sementara kes mengambil dadah berbahaya, dia berhadapan dengan hukuman penjara 10 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.

Susulan keputusan berkenaan, Yasin yang sebelum ini ditempatkan di hospital bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, segera digari oleh pihak polis dan dibawa ke Penjara Kajang.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah itu, tetapi mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan hospital bahagia mengikut tempoh perkenan sultan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg