KUALA LUMPUR: Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia mengetatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu keluar negara bagi menyekat sebarang cubaan menyeludup haiwan liar eksotik.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata terdapat kira-kira 20 pegawai Perhilitan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini.
Menurutnya, anggota Perhilitan bagaimanapun diserapkan ke dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kastam DiRaja Malaysia (KDRM); Pasukan Gerakan Am dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP); penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Melalui kerjasama ini, cubaan menyeludup haiwan liar dilindungi terutama ke India berjaya disekat di pintu utama keluar negara.
“Peningkatan kes penyeludupan hidupan liar dilindungi melalui KLIA ke bandar utama di India ada kaitan dengan permintaan dari negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro pada 22 Mei.
Menurutnya, India mempunyai pasaran yang luar, sekali gus menjadi tumpuan sindiket penyeludupan haiwan liar dilindungi.
“Selain dijual sebagai haiwan peliharaan, pasaran gelap di negara itu amat menggemari tanduk badak sumbu, sisik tenggiling dan tulang harimau bagi tujuan perubatan tradisional,” katanya.
Menurutnya, kejayaan demi kejayaan dilakukan Perhilitan susulan penahanan individu yang cuba menyeludup pelbagai haiwan liar seperti siamang, kura-kura, orang utan, gibbon, burung koel, biawak dan pelbagai haiwan lain ke India.
Difahamkan, India menjadi destinasi utama dengan hampir 73 peratus kes termasuk empat kejadian di Lapangan Terbang Chennai.
Berdasarkan maklumat, Lapangan terbang Chennai dan Mumbai di India adalah hab utama untuk kegiatan haram ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg