Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerginya permata M’sia, Siti Hasmah
Allahyarhamha juga dikenali sebagai doktor yang berdedikasi kepada masyarakat
Perginya permata M’sia, Siti Hasmah
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun pada 28 September, bukan sekadar kehilangan isteri kepada mantan Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah seluruh Malaysia turut meratapi pemergian Dr Siti Hasmah sebagai seorang tokoh wanita yang mencipta sejarah tersendiri dalam bidang perubatan dan kesihatan awam negara.
Sepanjang hayatnya, Allahyarhamha Dr Siti Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir sepanjang perjalanan politik dan pentadbirannya.
Malah beliau turut dikenali sebagai seorang doktor yang mendedikasikan sebahagian besar kehidupan awalnya untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura, sebelum menamatkan pengajian pada 1955.
Beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya. Selepas menamatkan pengajian pada 1955, beliau menjalani latihan di Hospital Besar Kuala Lumpur.
Allahyarhamha juga memperoleh ijazah MBBS daripada Universiti Malaya, malah turut melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan awam di Universiti Michigan di Amerika Syarikat dan banyak menulis tentang isu perubatan keluarga, kehamilan, dan kesihatan wanita.
Dr Siti Hasmah bertemu jodoh dengan Dr Mahathir ketika sama-sama mengikuti pengajian di Singapura, dan berkahwin pada 5 Ogos 1956.
Dr Siti Hasmah baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100 pada 12 Julai, dua hari selepas Dr Mahathir meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-101 pada 10 Julai lalu.
Pada ketika peluang pendidikan tinggi untuk wanita masih terhad, kejayaan Dr Siti Hasmah menceburi bidang perubatan menjadi antara pencapaian penting dalam sejarah penyertaan wanita Melayu dalam profesion berkenaan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan sebelum mencipta sejarah apabila dilantik sebagai pegawai perubatan wanita pertama di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak Kedah pada 1965.
Pada 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah.
Pengalaman berkhidmat dalam bidang kesihatan awam turut membentuk penglibatan beliau dalam pelbagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan ibu dan anak, perancangan keluarga serta kepentingan penjagaan kesihatan.
Namun, perjalanan hidup Allahyarhamha turut menyaksikan perubahan besar apabila suaminya dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1981, sekali gus meletakkan beliau di pentas nasional sebagai isteri Perdana Menteri.
Sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menerajui negara itu dalam penggal pertama pemerintahannya, Dr Siti Hasmah memainkan peranan aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.
Ia termasuk memperjuangkan kesihatan wanita, pendidikan keluarga, pembasmian penyalahgunaan dadah dan peningkatan celik membaca dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut membawa suara wanita Malaysia ke peringkat antarabangsa apabila mengetuai delegasi negara itu ke Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beijing, China, pada 1995.
Selain itu, penglibatan beliau dalam pelbagai pertubuhan wanita dan kesihatan mental memperlihatkan komitmennya untuk terus menyumbang kepada masyarakat, meskipun tanggungjawab sebagai isteri Perdana Menteri menuntut perhatian yang besar.
Di sebalik kehidupan di pentas rasmi negara, Dr Siti Hasmah juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada tujuh anak, hasil perkahwinannya dengan Dr Mahathir.
Perkahwinan yang menjangkau tujuh dekad itu menyaksikan beliau mendampingi suaminya melalui pelbagai fasa kehidupan, termasuk ketika Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, pada usia 92 tahun.
Walaupun sering berada di sisi seorang pemimpin negara, Dr Siti Hasmah tetap mempunyai perjalanan dan pencapaian tersendiri yang melangkaui peranan sebagai isteri Perdana Menteri.
Sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kesihatan awam, pendidikan dan kebajikan masyarakat menjadi sebahagian daripada legasi yang ditinggalkan, selain menjadi antara perintis kepada penglibatan lebih ramai wanita Melayu dalam profesion perubatan.
Pada 22 Ogos 2019, Dr Siti Hasmah menerima gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) sempena Hari Wanita Kebangsaan.
Malah, beliau juga dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Multimedia (MMU), dan dikatakan pencetus idea penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Legasi Dr Siti Hasmah bukan sahaja terakam melalui peranannya dalam kehidupan seorang pemimpin negara, malah menerusi sumbangan profesional dan kemasyarakatan yang menjadikan beliau antara tokoh wanita penting dalam sejarah Malaysia.
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai bekas Perdana Menteri dan pasangan tertua yang masih hidup di peringkat Asean baru-baru ini.
Pemergian Allahyarhamha pada usia 100 tahun menutup sebuah perjalanan panjang yang merentasi pelbagai zaman dalam sejarah negara, daripada era awal selepas kemerdekaan hingga Malaysia moden.
Sementara itu, anak Allahyarhamha, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dengan nada sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, berkata ibunya dalam keadaan ceria ketika bersama pada malam 27 September.
Malah, dalam nada sebak Datuk Mukhriz berkata ibunya menyatakan bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka semua.
Menurut beliau, walaupun sudah berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana komplikasi lain, keadaan Allahyarhamha tidak menunjukkan sebarang petanda buruk, malah berada dalam suasana ceria.
“Ini bukan satu pencapaian yang mudah bagi mana-mana orang untuk mencapai usia hingga 100 tahun.
“Jadi saya anggap itu satu tuah yang sangat bermakna, bukan hanya pada keluarga kami, insya-Allah juga bagi negara.
“Kerana Allahyarhamha sebenarnya seorang yang sentiasa utamakan khidmat bagi rakyat dan bagi negara. Sampai ke saat-saat akhir, beliau masih lagi memikirkan soal masa depan kita semua,” katanya.
Beliau menambah, pihak Institut Jantung Negara memaklumkan ibunya mengalami sakit jantung kira-kira 8 pagi, sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9.20 pagi.
Turut kelihatan menziarahi Allahyarhamha di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor; Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur dan Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, ialah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah.
Selain itu ialah mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Cik Rosmah Mansor, isteri kepada mantan Perdana Menteri, Encik Najib Razak.