Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perintah berkurung di perairan Timur Sabah dilanjutkan hingga 4 Julai

Jun 18, 2023 | 5:08 PM
KAWALAN: Pasukan keselamatan giat memastikan keamanan kawasan perairan Malaysia.
KAWALAN: Pasukan keselamatan giat memastikan keamanan kawasan perairan Malaysia. - Foto hiasan

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 4 Julai 2023.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Jauteh berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg