Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan PKR cabar keputusan pengurangan bon RM10j bekas ahli dibenarkan

Jun 25, 2025 | 12:14 PM
PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, bon
Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto fail

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun membenarkan permohonan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah yang perlu dibayar bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, daripada RM10 juta ($3.02 juta) kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti itu.

Panel tiga hakim dibarisi Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membenarkan permohonan itu, yang merupakan syarat bagi membolehkan perkara berkenaan dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 11 Disember 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk See Mee Chun, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Datuk Zuraida, yang juga mantan Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH), telah melanggar syarat bon parti tetapi mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi pada 23 Jun 2023 telah membuat keputusan yang memihak kepada PKR serta memerintahkan Datuk Zuraida membayar RM10 juta kepada parti itu selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon terbabit adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Kes berkenaan adalah susulan saman difailkan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti berkenaan untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Ahli Parlimen (AP) Ampang itu atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam terma dan syarat bon itu, Datuk Zuraida antara lain dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR.

Ia termasuk jika beliau meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Datuk Zuraida dalam pembelaannya pula mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani bon dengan PKR untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian pada 24 Jun, PKR diwakili peguam Encik Ranjit Singh, Encik William Leong, Encik Navpreet Singh, Cik Sakina Siraj, Encik Chiew Choon Man dan Encik Liew Hong Wei, manakala Datuk Zuraida diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Cik Nurul Najwa Zainuddin serta Encik Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg