Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Agung ke-17 Malaysia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Agung ke-17 Malaysia

Sultan Johor akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia pada 30 Januari 2024
Nov 12, 2023 | 05:30 AM



Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober lalu sebulat suara mengisytiharkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan selama ini.

Tanggal 30 Januari 2024 dipilih sebagai detik penting pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Agong bagi menggantikan Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang juga Sultan Pahang, yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Ketika berucap sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-67 beliau, Sultan Nazrin menyifatkan pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Agong ke-17 berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

Menyusuri sejarah takhta Sultan Ibrahim, beliau dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 31 Julai 1981 di Istana Besar, Johor Bahru. Pelantikan berkenaan dimasyhurkan oleh Almarhum Sultan Iskandar.

Pada 22 Januari 2010, beliau dilantik sebagai sebagai Pemangku Raja kerana ayahandanya sakit. Beliau kemudian dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, selepas ayahandanya meninggal dunia pada 22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Enam Menteri Besar berkhidmat di bawah pemerintahan beliau iaitu Tan Sri Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Osman Sapian, Datuk Dr Shahruddin Jamal, Datuk Seri Hasni Mohamed dan Datuk Onn Hafiz Ghazi, iaitu MB semasa.

Sultan Ibrahim seorang yang berwawasan dan mempunyai kebijaksanaan dalam mentadbir Johor. DNA ‘Bapa Pemodenan Johor’ Almarhum Maharaja Abu Bakar turut mengalir dalam diri beliau untuk memacu Johor sehingga menjadi negeri maju dan moden di selatan tanah air.

Johor antara negeri penyumbang terbesar Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dalam sektor pertanian, iaitu 17.5 peratus atau RM101.3 bilion ($29.33 bilion), sekali gus berpotensi menjadi ‘bank makanan’ negara bagi menangani isu keterjaminan makanan.

Pembangunan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Johor mampu melonjakkan pembangunan wilayah itu, sekali gus menjadi pemacu penting dalam pembangunan sosioekonomi di Johor.

Inisiatif Segitiga Singapura, Johor dan Indonesia (Sijori) membabitkan tiga kawasan geografi (Johor, Singapura dan Riau) sedang diperkasa semula bagi menjana pertumbuhan ekonomi lebih progresif di wilayah selatan tanah air.

Terbaru, Zon Khas Kewangan Forest City akan dibangunkan di tapak seluas 2,832.79 hektar di atas empat pulau buatan di Forest City, dijangka melonjak dan memacu pertumbuhan ekonomi Johor serta negara.

Model kewangan khas ini membabitkan Malaysia dan Singapura berpotensi menjadi seperti Zon Kewangan Khas Shenzhen di China. Hubungan baik beliau dengan Singapura akan melancarkan pelaksanaan dan pembangunan Zon Khas Kewangan ini.

Angkat konsep ‘kejuruteraan sosial’

Menerusi slogan ‘Muafakat Itu Berkat’, beliau memastikan kehidupan rakyat berbilang bangsa mampu hidup bersatu, aman dan sejahtera. Beliau sentiasa menekankan perpaduan Bangsa Johor dan kestabilan politik supaya dapat meningkatkan pembangunan ekonomi serta psikososial rakyatnya.

Justeru, konsep kejuruteraan sosial ‘Muafakat Bangsa Johor’ yang diperkenalkan beliau mampu dimartabatkan pada peringkat nasional sebagai ‘Muafakat Bangsa Malaysia’. Malah konsep ‘kejuruteraan sosial’ ini selari hasrat Kerajaan Perpaduan menerusi ‘Membangun Malaysia Madani’.

Keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap perpaduan dan kesatuan negara terserlah apabila beliau berkata dan menegur segelintir pemimpin politik cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menimbulkan kesangsian serta kekalutan terhadap kerajaan memerintah ketika ini.

Beliau turut menyarankan beberapa langkah drastik dan tegas diambil kerajaan bagi mengekang sentimen mainan persepsi 3R (agama, Raja dan kaum). Beliau mengingatkan semua pihak tidak menimbulkan kekacauan dengan membangkitkan perkara sensitif yang boleh mengeruhkan perpaduan serta keharmonian rakyat.

Selain perpaduan, beliau turut memberi tumpuan terhadap kepentingan mengangkat elemen budaya dan kesenian.

Penubuhan Yayasan Warisan Johor (YWJ) misalnya bertujuan membangun dan memperkasa jati diri Bangsa Johor yang terkenal dengan pelbagai cabang seni unik seperti tulisan Jawi (khat), ghazal, kuda kepang, barongan, zapin, seni bina, warisan makanan tradisional dan busana Teluk Belanga.

Selain itu, di bawah kepimpinan beliau, Johor sentiasa memberi perhatian kepada pendidikan tinggi yang mana beliau adalah Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pertama.

Pemasyhuran
bawa makna besar

Sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 2010, beliau sering mengadakan kunjungan hormat ke beberapa negara Asean seperti Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Indonesia. Bahkan, beliau turut menerima kunjungan hormat duta dan pembesar negara luar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Ini menunjukkan beliau mementingkan hubungan diplomatik yang boleh memberi impak positif kepada negara. Hubungan baik beliau dengan pemimpin utama Singapura umpamanya, banyak menyelesaikan masalah berbangkit yang wujud, seperti isu imigresen, kastam dan masalah pekerja Malaysia di Singapura.

Hubungan antara Sultan Ibrahim dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat sangat akrab dan istimewa. Sejak hampir 11 bulan lalu, Datuk Anwar beberapa kali bertemu Sultan Ibrahim membincangkan isu pembangunan Johor dan Malaysia amnya.

Kedua-dua pemimpin tertinggi negara ini mempunyai padanan wawasan, gagasan dan tekad untuk melonjakkan tata kelola dan tadbir urus negara, membanteras rasuah dan salah guna kuasa, meningkatkan martabat dan darjat rakyat serta mengukuhkan perpaduan nasional.

Pemasyhuran beliau nanti dilihat bakal membawa makna amat besar kepada harapan dan masa depan rakyat serta negara. Banyak pihak mengharapkan Malaysia dapat dipacu menjadi negara berprestasi tinggi, berintegriti tinggi dan disokong kukuh nilai kemanusiaan.

Rencana ini disiarkan di Berita Harian Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >