Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pertanian menegak sumber baru atasi isu jaminan makanan di M’sia?

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

S’pura, Thailand telah orak langkah bangun ladang menegak

Pertanian menegak sumber baru atasi isu jaminan makanan di M’sia?

Mar 17, 2024 | 05:30 AM



Sejak berdekad lalu, Malaysia masih bergantung kepada import barang makanan dan minuman, terutama bahan mentah bagi pemprosesan makanan seperti gandum dan komoditi tenusu.

Menurut Jabatan Perangkaan, import makanan Malaysia pada 2022 berjumlah RM75.6 bilion ($21.47 bilion), berbanding RM44.6 bilion dalam eksport, mengakibatkan defisit perdagangan produk makanan sebanyak RM31 bilion, atau 24.3 peratus lebih tinggi daripada 2021.

Di sinilah potensi pertanian menegak (VF) penting bagi keluarga bandar atau penduduk tinggal dalam bangunan tinggi seperti kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa kerana sara diri makanan di bandar, khususnya di Lembah Klang, semakin jauh berkurangan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konsep pertanian menegak menunjukkan pencapaian amat baik kerana kelebihannya memberikan harapan peningkatan sara diri bagi rakyat dalam menghasilkan hasil makanan yang boleh meringankan kos sara hidup semakin mencanak sekarang.

Pertanian menegak ialah konsep dalam pertanian bandar merujuk penggunaan kaedah penanaman tanpa tanah dalam bangunan tinggi secara terkawal.

Pendekatan inovatif ini membabitkan penanaman dalam lapisan disusun secara menegak, membolehkan hasil lebih tinggi dalam ruang lebih kecil berbanding kaedah pertanian tradisional. Ia diamalkan banyak negara dalam pelbagai kaedah melalui penggunaan ruang tidak digunakan seperti di bumbung, dinding dan kemudahan dalaman.

Ini membantu memaksimumkan penggunaan bangunan kediaman atau pejabat kosong, sumber tanah terhad dan mengurangkan keperluan pengangkutan, sekali gus meminimumkan kesan pelepasan karbon.

Contoh luar negara

Baru-baru ini, satu universiti di Bangkok, Thailand, menjadikan bumbung bangunan untuk ladang berkeluasan 236,806 kaki persegi sebagai hab pertanian. Ladang atas bumbung Universiti Thammasat (TURF) menggabungkan pengeluaran makanan mampan yang mana tenaga boleh diperbaharui, sisa organik, pengurusan air dan ruang awam bertukar menjadi aktiviti pertanian bandar.

Di Singapura, daerah Tampines menjadi rumah kepada ladang menegak berteknologi tinggi, dipasang di sisi blok pangsapuri. Ladang itu dibiayai Yayasan Temasek, Majlis Bandaran Tampines, Parkwest dan Persatuan Makanan Singapura untuk menguji dan mengkomersialkan pengeluaran sayur serta tanaman.

Ia disasar menyumbang ke arah matlamat menghasilkan 30 peratus keperluan pemakanan Singapura secara mampan menjelang 2030.

Konsep pertanian bandar ini memberi sumbangan besar kepada kebolehlaksanaan ekonomi keluarga bandar dalam menanam sayur dan sebagainya. Dari satu segi, ia membantu meningkatkan daya tahan pada sistem makanan tempatan.

Selain itu, ia mempunyai hubungan kukuh dengan matlamat pembangunan mampan kerana menyumbang kepada pelbagai matlamat berkaitan keselamatan makanan, kesihatan, pemuliharaan air, pertumbuhan ekonomi, pembandaran mampan, perubahan iklim dan perlindungan ekosistem.

Rakyat Malaysia juga boleh mengamalkan pertanian menegak ke arah mencapai masa depan lebih mampan dan saksama. Banyak projek pertanian menegak di Malaysia menggunakan sistem hidroponik dan aeroponik. Kaedah ini sangat cekap kerana tidak memerlukan banyak air, ruang dan masa berbanding dengan teknik pertanian konvensional.

Bagi mengoptimumkan pertumbuhan dan hasil tanaman, ladang menegak Malaysia harus menyepadukan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan sistem kawalan iklim. Teknologi ini membantu memantau dan mengekalkan keadaan pertumbuhan ideal, memastikan pertumbuhan dan produktiviti optimum.

Maka, pendidikan dan pembabitan masyarakat memerlukan pelbagai inisiatif untuk mendidik orang ramai mengenai pertanian menegak dan faedahnya harus dijalankan secara berkala.

Perluas ilmu pertanian menegak

Bengkel, seminar dan demonstrasi perlu dianjurkan untuk menggalakkan penduduk kediaman bertingkat mengamalkan pertanian menegak. Selain itu, projek komuniti dan kerjasama dengan sekolah akan membantu meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pertanian menegak sebagai penyelesaian berdaya maju dalam menangani isu keterjaminan makanan.

Namun, sokongan kerajaan Malaysia amat penting dalam menjadikan pendekatan ini satu realiti sebagai sebahagian usaha menangani peningkatan kos sara hidup masa kini. Oleh itu, dasar dan insentif khas daripada kerajaan perlu diperkenalkan untuk menggalakkan penyelidikan, inovasi dan pelaburan dalam sektor ini.

Pertanian menegak berpotensi menyumbang secara signifikan ke arah keluaran dalam negara kasar (GDP) dan tahap sara diri dalam pelbagai cara.

Memandangkan ia memberi hasil tanaman lebih tinggi di ruang lebih kecil, kaedah ini membolehkan Malaysia mengeluarkan lebih banyak makanan dalam negara. Ini boleh menyebabkan penurunan dalam pergantungan negara terhadap import makanan.

Maka, penggunaan teknologi inovatif dan amalan mampan dalam pertanian menegak perlu diterapkan dan dalam hal ini, kerajaan perlu menarik pelabur asing untuk bekerjasama atau melabur dalam sektor semakin berkembang ini. Usaha ini boleh membawa pemindahan pengetahuan, kemajuan teknologi dan aliran masuk modal tambahan.

Apa yang penting, pertanian bandar mampan ini boleh meningkatkan keterjaminan makanan dan sistem makanan negara, selain mendorong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan, aliran menurun berterusan dalam nilai ringgit dan pelbagai isu lain memberi kesan kepada ekonomi pengguna semua pada masa ini, seharusnya menyedarkan kita bahawa pertanian menegak adalah penyelesaian berdaya maju dalam mengatasi isu keterjaminan makanan kita.

Bagaimanapun, terdapat keperluan kerajaan Malaysia memperuntukkan dana mencukupi bagi pelaksanaan dan operasi keseluruhan sistem pertanian itu.

Kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi swasta akan membantu mempromosikan pertanian menegak dan paling penting, mewujudkan kesedaran orang ramai tentang konsep pertanian ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >