Pergolakan politik Johor kembali menjadi tumpuan apabila Parti Amanah Negara (Amanah) negeri itu menyatakan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih untuk bertanding secara bersendirian.
Langkah itu menandakan isyarat awal bahawa perundingan antara parti dalam gabungan kerajaan Malaysia di peringkat pusat belum semestinya diterjemah kepada kesepakatan di negeri selatan Malaysia itu, negeri yang sering dianggap sebagai barometer politik Malaysia.
Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan, berkata isu kemungkinan pertandingan tiga penjuru itu merupakan antara tiga perkara utama yang telah dibahaskan dalam Konvensyen Amanah Johor yang diadakan di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada 27 September.
Beliau menjelaskan usul tersebut lahir daripada suara akar umbi yang mahu Amanah bersedia dengan segala perubahan senario politik yang kian dinamik dan sukar dijangka.
Menurutnya, walaupun setiap perwakilan bebas membahaskan pandangan masing-masing, keputusan muktamad mengenai hala tuju kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) tetap ditentukan oleh Majlis Presiden di peringkat pusat.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada juga dalam BN yang berpendapat bahawa pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.
“Namun bagi Amanah, kita tetap bersedia menghadapi apa jua keadaan, sama ada dua atau tiga penjuru,” katanya.
Selain isu pertandingan, antara usul lain yang dibincangkan ialah cadangan mewujudkan jawatan Pengarah Pilihan Raya PH peringkat nasional bagi menyelaras jentera dan strategi gabungan parti itu di seluruh negara.
Encik Aminolhuda menjelaskan bahawa pengalaman lalu, termasuk di Sabah, menunjukkan perbezaan pendirian di peringkat negeri boleh menjejas kesepaduan kempen walaupun kerjasama di peringkat pusat sudah mantap.
Jelasnya, PH Johor sudah dua kali bermesyuarat bagi meneliti corak undi dan dapatan daripada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dan hasil analisis itu akan dibentangkan untuk memperkukuh strategi menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu pertemuan rasmi antara Pengerusi PH Johor dengan Pengerusi BN Johor akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan bentuk kerjasama yang lebih tersusun.
Pada PRN Johor 2022, BN telah memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN); manakala PH melalui DAP meraih 10 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah masing-masing satu kerusi; serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi.
Namun, keputusan PRU ke-15 menunjukkan corak berbeza apabila BN hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen di Johor; sementara PH memperoleh 15; Muda satu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua.
Keputusan itu dianggap tanda bahawa Umno dan BN masih belum pulih sepenuhnya daripada kemerosotan sokongan selepas PRU ke-14.
Kelemahan itu mendorong beberapa bahagian Umno di Johor, termasuk Sri Gading, kawasan yang kini disandang Encik Aminolhuda sendiri, mendesak agar BN bertanding bersendirian pada PRU ke-16.
Namun bagi PH Johor, segala keputusan tetap berpandukan kepada Majlis Presiden di peringkat nasional.
“Negara mesti terus maju dengan kestabilan politik yang kukuh. Itu kunci kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Walaupun Amanah dianggap kecil, disiplin serta organisasi parti ini tetap utuh dan kita akan terus membawa semangat rahmah dalam kepimpinan,” katanya.
Setiausaha Agung Amanah, Encik Muhammad Faiz Fadzil, pula menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai bentuk pertandingan dua atau tiga penjuru di Johor akan melalui perbincangan di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan oleh pimpinan pusat.
Beliau berkata suara perwakilan akar umbi tetap dihormati, namun tumpuan utama adalah mengukuhkan kesepaduan supaya pihak lawan tidak mengambil kesempatan atas perpecahan undi.
“Pengalaman lalu menunjukkan bahawa perpecahan undi hanya menguntungkan pihak lawan.
“Justeru, rundingan pembahagian kerusi perlu dilaksana dengan tertib, menyeluruh dan berpandukan semangat permuafakatan.
“Kekuatan gabungan pemerintah perlu dipelihara melalui perundingan yang bijak supaya tidak membuka ruang kepada lawan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa segala persediaan hendaklah bermula dari sekarang, termasuk pengukuhan penyampaian maklumat di lapangan dan di alam maya bagi menangkis tohmahan serta memperjelas hala tuju gabungan.
Menurutnya, pengalaman PRN Johor pada 2022, yang menyaksikan perbezaan pola sokongan antara peringkat negeri dan Persekutuan, wajar dijadikan iktibar agar rundingan baru lebih tertib dan berkesan.
“Dengan mengambil kira rekod kemenangan lalu dan corak undi semasa, semua pihak hendaklah berlapang dada, mengelak tuntutan yang mengundang percanggahan, serta memberi ruang kepada keputusan berasaskan kekuatan setempat,” ujarnya.
Kenyataan Amanah Johor itu turut menarik perhatian pimpinan PN, PKR, Pejuang, dan Umno Johor.
Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata Amanah perlu menyedari kerajaan perpaduan tidak wujud di Johor kerana PH dan PN sama-sama berada di blok pembangkang di DUN.
“Kalau melihat keadaan sebenar, Johor ini PH dan PN sama-sama berada di blok kiri.
“Kami dalam PN tidak kisah dua atau tiga penjuru; yang penting, jika diberi peluang membentuk kerajaan, kami akan menjadi kerajaan yang menyantuni rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PN Johor kekal kukuh tanpa sebarang masalah dalaman, dengan mesyuarat antara Bersatu, PAS dan Gerakan diadakan secara berkala.
“Setakat ini, tidak ada masalah dalam PN Johor. Kami bersedia dan yakin dengan kekuatan gabungan ini menjelang PRN nanti,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Encik Md Ysahrudin Kusni, berkata Amanah bebas membawa apa-apa usul dalam konvensyen negeri kerana kebebasan bersuara diraikan dalam PH.
Namun, beliau mengingatkan bahawa sebarang keputusan akhir berkaitan strategi pilihan raya hanya akan dibuat oleh Majlis Presiden PH di peringkat pusat.
“Dalam konteks Johor, kita maklum bahawa kerajaan negeri sekarang bukan kerajaan perpaduan.
“BN menang besar dalam PRN 2022 sebelum kerajaan perpaduan terbentuk di peringkat pusat.
“Oleh itu, sehingga kini belum ada rundingan rasmi antara PH dengan BN di Johor,” katanya.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Cik Suraya Sulaiman, pula melihat usul Amanah sebagai tanda bahawa gabungan PH-BN masih belum mempunyai arah jelas menjelang PRN.
“Kerjasama yang kabur hanya akan merugikan rakyat kerana tumpuan lebih diberikan kepada perebutan kerusi berbanding usaha membela nasib Johor,” katanya.
Beliau menambah bahawa Pejuang akan terus menjadi suara pengimbang dengan menawarkan pilihan yang lebih bersih dan ikhlas kepada rakyat.
Sementara itu, seorang pemimpin kanan Umno Johor yang enggan dinamakan menyifatkan kenyataan Amanah itu sebagai perbualan politik biasa yang bertujuan memastikan parti berkenaan kekal mendapat perhatian.
“Segala hala tuju politik mesti ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti,” katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik mendakwa PRN Johor mungkin diadakan seawal 2026 sehingga wujud desakan supaya BN Johor menyatakan pendirian sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama.
Namun pada 21 Jun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Pengerusi BN Johor, dilaporkan berkata bahawa PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.
“
“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada juga dalam BN (Barisan Nasional) yang berpendapat bahawa pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan. Namun bagi Amanah, kita tetap bersedia menghadapi apa jua keadaan, sama ada dua atau tiga penjuru.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg