KOTA BHARU (Kelantan): Pihak berkuasa agama di Kelantan dan Terengganu telah memulakan siasatan terhadap seorang wanita dan pasangannya yang didakwa terbabit dalam kes poliandri.
Ia selepas wanita itu dilapor ‘memadukan’ suaminya dengan mengahwini lelaki lain ketika masih berstatus isteri orang. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Encik Mohd Asri Mat Daud, berkata keterangan wanita berusia 30 tahun itu direkodkan pada 14 Disember oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati wanita yang didakwa mempunyai dua suami itu disahkan sudah bercerai dengan suami pertama pada Jun 2022.
Wanita itu kemudian dilaporkan berkahwin buat kali kedua di Songkhla, Thailand, pada November 2024.
Encik Mohd Asri berkata maklumat itu diperoleh selepas Jaheik mengambil keterangan wanita terbabit dan bekas suami pertama yang berusia 46 tahun.
“Bekas suami pertama mengaku menceraikan isterinya dengan talak satu.
“Jadi, tidak benar wanita berkenaan mempunyai dua suami,” katanya, lapor Harian Metro pada 15 Disember.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa abangnya ‘dimadukan’ isteri sejak 2024 apabila kakak iparnya berkahwin dengan suami kedua di Songkhla.
Wanita yang dikenali sebagai Ekin ketika memuat naik kenyataan di Facebook mendakwa kakak iparnya itu berusia 30 tahun dan berasal dari Terengganu.
Ia dikatakan terbongkar pada 6 Disember lalu selepas keluarganya, dengan bantuan penduduk kampung, ‘menangkap’ wanita itu yang berada di rumah lelaki yang dikahwininya di Thailand.
Dakwaan itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, dilaporkan berkata tindakan wanita tersebut jika benar berkahwin dengan lelaki lain ketika masih berstatus isteri adalah satu pelanggaran serius terhadap hukum syarak dan undang-undang.
Menurutnya, sebarang perbuatan yang mencemarkan kesucian akad nikah tidak boleh dipandang ringan.
“Perbuatan seperti penipuan, penyembunyian fakta atau pelanggaran hukum syarak dalam urusan perkahwinan adalah satu kesalahan serius yang memberi kesan besar kepada institusi keluarga Islam.
“Berhubung kes yang dilapor membabitkan seorang wanita yang didakwa berkahwin dengan lelaki lain ketika masih berstatus isteri, perlu ditegaskan hukum syarak dengan jelas mengharamkan perbuatan itu sama ada perkahwinan tersebut diketahui atau disembunyikan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg