Topik diikuti
Pergi ke BHkuPKR gesa PBB perkukuh akauntabiliti, negara anggota hormati kewajipan ICC
Dr Maszlee tegaskan kedudukan diplomatik tidak harus menjejaskan tuntutan keadilan bagi rakyat Palestin
PKR gesa PBB perkukuh akauntabiliti, negara anggota hormati kewajipan ICC
JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meneliti tatacaranya bagi memastikan keadilan antarabangsa ditegakkan dengan lebih berkesan serta prinsip akauntabiliti dilaksanakan secara konsisten.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, berkata negara-negara yang terikat dengan Statut Rom juga perlu menunaikan kewajipan masing-masing terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Kewibawaan undang-undang antarabangsa bergantung kepada pelaksanaannya secara konsisten, tanpa mengira pakatan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 September.
Seruan itu dibuat susulan tindakan puluhan perwakilan yang, menurut kenyataan berkenaan, meninggalkan dewan ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 24 September.
Dr Maszlee menyifatkan tindakan tersebut sebagai tanda bantahan yang jelas, selain membangkitkan persoalan mengenai akauntabiliti seorang pemimpin yang berdepan waran tangkap ICC tetapi masih dapat berucap di forum diplomatik utama dunia.
Menurut kenyataan itu, waran yang dikeluarkan pada November 2024 berkaitan dengan dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan.
“Netanyahu belum disabitkan kesalahan, namun waran tersebut mesti dipandang serius. Kedudukan tinggi di pentas diplomatik sama sekali tidak boleh menjejaskan kewajipan untuk menuntut akauntabiliti,” katanya.
Beliau menegaskan tuntutan keadilan perlu diberikan perhatian ketika dakwaan mengenai jenayah berat di Gaza masih melalui proses keadilan antarabangsa.
“Rakyat Palestin berhak mendapat perlindungan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan puluhan diplomat dari pelbagai negara bertindak meninggalkan dewan PBB ketika Encik Netanyahu memulakan ucapannya pada 24 September, sebagai tanda bantahan terhadap dasar dan tindakan ketenteraan Israel.
Tindakan keluar beramai-ramai itu menyebabkan sebahagian besar kerusi di dewan kosong, sekali gus memperlihatkan bantahan diplomatik terhadap Israel ketika negara itu berdepan kritikan antarabangsa berhubung peperangan di Gaza dan serangan terhadap Iran.
Ketika Encik Netanyahu menuju ke podium, suasana dewan menjadi kecoh dengan sorakan, ejekan dan tepukan daripada delegasi yang mempunyai pendirian berbeza.
Presiden Perhimpunan Agung PBB, Encik Khalilur Rahman, beberapa kali meminta para perwakilan supaya bertenang dan menjaga ketenteraman dewan.
Encik Netanyahu kemudian membidas diplomat yang meninggalkan dewan dengan menyifatkan mereka sebagai pengecut dari segi moral.