Topik diikuti
Pergi ke BHkuPKR puji Fly FM gugur lagu Ed Sheeran susuli kontroversi Macklemore
Stesen radio dianggap berani menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan artis yang memperjuangkan kemanusiaan
PKR puji Fly FM gugur lagu Ed Sheeran susuli kontroversi Macklemore
JOHOR BAHRU: Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) memuji keputusan penyiar radio Fly FM Malaysia menggugurkan lagu penyanyi Britain, Ed Sheeran, daripada senarai siarannya sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, berkata tindakan itu turut menunjukkan sokongan kepada artis yang menggunakan pengaruh dan wadah awam mereka untuk memperjuangkan keadilan serta kemanusiaan.
Menurut beliau, Fly FM membuat keputusan berkenaan menyusuli kontroversi membabitkan penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore, yang digugurkan daripada baki persembahan jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Amerika selepas menyuarakan sokongan kepada Palestin.
“Fly FM telah menegaskan bahawa muzik seharusnya memberikan suara kepada masyarakat dan bukannya mengambil suara mereka.
“Kesediaan sebuah pertubuhan media Malaysia menyatakan pendiriannya secara terbuka menunjukkan bahawa budaya popular dan media juga mempunyai peranan dalam persoalan maruah manusia,” katanya dalam kenyataan pada 21 September.
Dr Maszlee berkata pendirian itu wajar diberikan pengiktirafan ketika suara yang memperjuangkan hak rakyat Palestin terus berdepan tekanan dalam sebahagian industri kebudayaan dan hiburan antarabangsa.
Menurutnya, tindakan terbaru itu juga bukan kali pertama Fly FM menggunakan wadahnya untuk menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Pada Jun 2024, stesen radio berkenaan menyiarkan lagu Hind’s Hall – yang mempunyai kaitan dengan kesengsaraan yang dialami penduduk Gaza – oleh Macklemore selama 24 jam, diiringi perbincangan mengenai sokongan terhadap rakyat Palestin dan usaha mengumpulkan dana.
“Keteguhan pendirian seperti ini mempunyai makna yang besar. Stesen radio dan pertubuhan media melakukan lebih daripada sekadar menghiburkan.
“Mereka membentuk perbualan, memperkenalkan gagasan dan menyediakan wadah yang membantu jutaan orang memahami peristiwa di luar lingkungan kehidupan mereka,” katanya.
Dr Maszlee berkata pengaruh tersebut memberikan peluang kepada media untuk mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada pihak pengurusan, penyampai dan seluruh pasukan Fly FM kerana menunjukkan bahawa solidariti terhadap Palestin boleh merentasi sempadan politik, agama, kaum dan geografi.
“Persoalan Palestin pada asasnya berkaitan maruah manusia, hak dan undang-undang antarabangsa. Keprihatinan terhadap orang awam Palestin dan hak mereka yang sah tidak seharusnya terbatas kepada kerajaan, diplomat atau pertubuhan politik,” katanya.
Beliau berkata masyarakat awam, artis, universiti, perniagaan dan pertubuhan media mempunyai peranan dalam mengekalkan kesedaran orang ramai serta keprihatinan kemanusiaan.
PKR turut memberikan pengiktirafan kepada artis antarabangsa yang menggunakan suara dan pengaruh mereka untuk mengetengahkan penderitaan serta hak rakyat Palestin walaupun berdepan tekanan kerjaya atau komersial, katanya.